RANTAU PANJANG - Seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dipercayai memasuki Malaysia menggunakan perahu melalui pangkalan haram selepas menemui isterinya di Golok, Thailand pada Selasa.
Lelaki terbabit dikesan anggota Strike Force Kompeni C, Batalion 8 PGA ketika perahu dinaikinya dari arah Thailand menghampiri tebing Sungai Golok di pangkalan haram Abe Yie Paking kira-kira jam 2.45 petang.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota yang menjalankan pemantauan kemudian menghampiri lelaki berkenaan sebelum memperkenalkan diri dan melakukan pemeriksaan.
"Pemeriksaan tubuh badan terhadap lelaki itu tidak menemukan sebarang barangan yang menyalahi undang-undang.
"Bagaimanapun, dia ditahan kerana disyaki memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak sah dan dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Menurutnya, hasil soal siasat ringkas mendapati lelaki terbabit sebelum itu masuk ke Thailand bagi menemui isterinya di Golok.
Ahmad Radzi memberitahu, lelaki yang juga rakyat Malaysia itu menjalani ujian saringan air kencing dan didapati negatif.
"Kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan dan tindakan selanjutnya serta disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63," katanya.