KATHMANDU - Tujuh mayat mangsa banjir diangkut menggunakan dron dari kawasan sukar dimasuki penyelamat di Benighat-3 ke Benighat-5, Dhading, Nepal.
Memetik The Kathmandu Post, operasi luar biasa itu dijalankan pada Isnin di bawah pengawasan pasukan keselamatan selepas keadaan muka bumi menyebabkan kawasan berkenaan hampir mustahil dilalui manusia.
Pasukan lapan anggota terdiri daripada Hami Nepal, GarudX, Polis Nepal, Tentera Nepal dan Pasukan Polis Bersenjata terbabit dalam operasi tersebut.
Dron kargo industri DJI FlyCart 100 digunakan untuk membawa keluar mayat berkenaan.
Dron itu mampu membawa muatan sehingga 85 kilogram dengan jarak operasi sehingga empat kilometer.
Penggunaan dron bagi mengangkut tujuh mayat itu merupakan antara perkembangan terbaharu dalam operasi tindak balas bencana Nepal, selepas teknologi sama sebelum ini digunakan untuk menghantar makanan dan ubat-ubatan serta mencari mangsa yang terperangkap.
Pengendali dron, Milan Pandey berkata, kawasan berkenaan amat sukar dinavigasi manusia, menyebabkan penggunaan dron menjadi pilihan lebih selamat untuk mengeluarkan mayat.
Selain mengangkut mangsa yang telah meninggal dunia, dron turut digunakan bagi memeriksa sungai dan tebing dalam usaha mengesan individu yang hilang.
Dron dilengkapi kamera terma juga boleh membantu mengesan tanda kehidupan di kawasan yang terlalu berbahaya untuk dimasuki pasukan penyelamat.
Peranan dron dalam operasi bencana Nepal berkembang selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud pada 2015, yang menyaksikan pasukan penyelamat antarabangsa menggunakan teknologi berkenaan bagi mencari mangsa dan menilai kemusnahan.
Kini, kepakaran tempatan membolehkan teknologi itu digunakan dalam pelbagai situasi kecemasan, daripada menghantar bekalan hingga mengangkut mayat dari kawasan yang tidak mampu dicapai manusia.