Elena Rybakina intai status nombor satu dunia

Iklan
Rybakina mara ke pusingan kedua Terbuka AS selepas menewaskan pemain tuan rumah di Flushing Meadows pada Rabu. Foto: AFP.

ELENA Rybakina mengintai peluang merampas kedudukan nombor satu dunia apabila meneruskan misi memburu gelaran Grand Slam ketiganya pada Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas mara ke pusingan kedua pada Rabu.

Pemain Kazakhstan yang menghuni ranking kedua dunia itu hanya perlu mara ke separuh akhir di Flushing Meadows untuk memintas Aryna Sabalenka dan berada di puncak ranking WTA.

Iklan
Iklan

Rybakina melangkah ke pusingan kedua dengan bergaya apabila menewaskan pemain remaja tuan rumah, Thea Frodin, 6-3, 6-2 dalam aksi pusingan pertama.

Kemenangan itu turut melegakan Rybakina selepas kecederaan tumit kiri memaksanya menarik diri pada suku akhir Terbuka Cincinnati, namun keadaan kecederaannya kini semakin baik.

Iklan

"Saya gembira dengan perlawanan ini. Terutama apabila anda tidak mengenali lawan, ia sentiasa boleh menjadi berbahaya, tetapi secara keseluruhan saya gembira dengan perlawanan pertama dan bagaimana semuanya berjalan.

"Ia keputusan yang hebat selepas 10 hari mengalami kecederaan seperti itu," katanya.

Iklan

Rybakina mendapat kelegaan di Cincinnati apabila ahli fisioterapinya mengesahkan tendon Achillesnya tidak terkoyak, namun dia masih tidak mampu berjalan tanpa rasa sakit untuk beberapa hari selepas itu.

"Ketika mahu melakukan servis, saya tidak boleh menolak menggunakan kaki itu. Jadi mustahil untuk saya meneruskan perlawanan.

"Selepas itu, kami memulakan proses pemulihan. Kami tidak tahu sama ada saya boleh beraksi di sini atau tidak," katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu mengambil pendekatan hari demi hari sepanjang tempoh pemulihan, termasuk tidak beraksi sepanjang minggu sebelum Terbuka AS.

"Saya tidak bermain sepanjang minggu, jadi tujuh hari tanpa tenis dan pada asasnya saya juga tidak banyak melakukan latihan gim yang membabitkan pergerakan.

"Sudah tentu, kami akan melihat keadaan hari demi hari dan bagaimana keadaan saya apabila bangun esok kerana ini perlawanan pertama dan membabitkan agak banyak pergerakan," katanya.