Nilai Fernandez ke City cecah RM684 juta

Iklan
Kehadiran Fernandez bakal memperkuatkan jentera tengah City dalam saingan domestik dan pentas Eropah. Foto: FB Manchester City.

MANCHESTER City mengorak langkah besar membina semula barisan tengah apabila sanggup membayar 125 juta pound (RM684 juta) bagi mendapatkan bintang Argentina, Enzo Fernandez daripada Chelsea.

Nilai perpindahan pemain berusia 25 tahun itu menyamai rekod perpindahan tertinggi Britain yang sebelum ini dicatatkan ketika Liverpool membawa masuk penyerang Sweden, Alexander Isak dari Newcastle United.

Iklan
Iklan

Kehadiran Fernandez menjadi sebahagian daripada perubahan besar di Etihad selepas City kehilangan beberapa tonggak penting di bahagian tengah, termasuk Rodri yang berhijrah ke Barcelona.

Selain Rodri, Bernardo Silva, Nico Gonzalez dan Tijjani Reijnders turut meninggalkan kelab, memaksa City melakukan rombakan besar bagi menghadapi musim baharu.

Iklan

Tugas membentuk semula pasukan kini dipikul Enzo Maresca yang mengambil alih kedudukan Pep Guardiola di mana beliau turut mempunyai hubungan kerja sebelum ini bersama Fernandez ketika mengendalikan Chelsea.

Di Etihad, Fernandez dijangka menjadi antara nadi utama bersama pemain England, Elliot Anderson dan bintang muda Maghribi, Ayyoub Bouaddi dalam kombinasi tengah baharu yang dibentuk kelab.

Iklan

"Setiap pemain mahu menjadi sebahagian daripada kelab seperti ini kerana semua orang tahu betapa baiknya City diuruskan.

"Kelab ini dibina untuk mencapai kejayaan. Jika anda melihat keseluruhan skuad, City mempunyai kualiti di setiap bahagian. Saya mahu belajar daripada rakan sepasukan baharu dan menjadi pemain yang lebih baik," kata Fernandez.

Perpindahan itu menamatkan perjalanan pemain Argentina berkenaan bersama Chelsea selepas tiga tahun, bermula dengan ketibaannya dari Benfica pada 2023 menerusi perpindahan bernilai 106 juta pound (RM580 juta).

Sepanjang bersama The Blues, Fernandez membantu kelab itu menjuarai Liga Konferens Eropah dan Piala Dunia Kelab, namun hubungannya dengan penyokong turut menjadi perhatian selepas timbul spekulasi mengenai masa depannya.

Xabi Alonso tidak menyenaraikan Fernandez bagi dua perlawanan terakhir Chelsea ketika rundingan perpindahannya ke City semakin menjadi tumpuan.

"Saya mahu anda tahu bahawa beberapa hari ini bukan mudah untuk saya. Menulis perkara ini juga bukan sesuatu yang mudah. Hakikatnya, saya tidak berada dalam keadaan yang baik.

"Hidup adalah mengenai membuat keputusan dan ketika ini saya mendapati diri saya perlu membuat salah satu keputusan sukar itu," katanya dalam hantaran perpisahan kepada penyokong Chelsea menerusi Instagram.

Pengarah bola sepak City, Hugo Viana yakin pengalaman serta kualiti Fernandez akan memberi impak besar kepada pasukan, malah menyifatkannya sebagai pemain tengah lengkap.

"Dia pemain tengah lengkap - memiliki keupayaan teknikal, rajin, kental dan mampu menjaringkan gol.

"Beraksi dalam dua final Piala Dunia dan memenangi trofi utama di beberapa negara ketika baru berusia 25 tahun sudah cukup untuk menggambarkan mentaliti, profesionalisme dan kualiti teknikalnya.

"Kami gembira membawanya ke sini dan sangat yakin dia akan membantu meningkatkan kekuatan pasukan," kata Viana.