'Dentuman kuat, feri berpusing' - Penumpang cemas motosikal bergelimpangan

Iklan
Soon Hin mendengar cerita tentang kejadian daripada salah seorang mangsa di hospital. Foto: FB Yeoh Soon Hin

GEORGE TOWN -  Penumpang Feri Teluk Bahang cemas selepas terdengar bunyi dentuman kuat sebelum feri berkenaan bergoyang dan berpusing dalam kejadian pelanggaran dengan sebuah kapal di perairan Pelabuhan Pulau Pinang pada malam Selasa.

Seorang penumpang yang mahu dikenali sebagai Muhammad berkata, kejadian berlaku ketika feri yang membawa kira-kira 45 hingga 50 motosikal itu sudah hampir tiba di Pengkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di bahagian belakang ruang motosikal sebelum menyedari sebuah kapal kargo berwarna gelap melintas di hadapan feri.

“Saya anggarkan ketika itu kami hanya kira-kira lima minit lagi untuk tiba di terminal.

Iklan

“Tiba-tiba saya nampak kapal kargo itu melintas sebelum terdengar bunyi dentuman besi yang sangat kuat dari bahagian hadapan feri,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Muhammad berkata, pelanggaran itu menyebabkan feri bergoyang ke kiri dan kanan sebelum berpusing sekali gus mencetuskan suasana panik dalam kalangan penumpang.

Iklan

“Penumpang mula menjerit dan keadaan menjadi kelam-kabut. Banyak motosikal turut tumbang akibat hentaman itu.

Penumpang mula menjerit dan keadaan menjadi kelam-kabut apabila motosikal turut bergelimpangan.

“Beberapa penumpang dan penunggang motosikal juga terjatuh. Saya cuba membantu mereka yang berada di lantai feri,” katanya.

Beliau berkata, terdapat penumpang yang mengalami kecederaan di kepala, tangan dan kaki susulan kejadian tersebut.

“Selepas feri tiba di terminal, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seramai 21 penumpang mengalami kecederaan dalam insiden pelanggaran membabitkan Feri Teluk Bahang dan sebuah kapal, MV Mekar Jaya kira-kira jam 8.40 malam, Selasa.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, berdasarkan maklumat awal, MV Mekar Jaya sedang bergerak dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) menuju ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).

Menurutnya, insiden perlanggaran kemudiannya berlaku melibatkan kapal tersebut dan feri yang sedang dalam perjalanan ke PSAH.

Beliau turut mengesahkan operasi perkhidmatan feri berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan kejadian tersebut.