PATNA - Penduduk di beberapa kawasan Bihar, India dinasihatkan supaya tidak menangkap, membeli, menjual atau memakan ikan yang ditangkap dari air banjir yang mengalir masuk dari Nepal kerana dikhuatiri tercemar dan boleh menjejaskan kesihatan.
Amaran itu dikeluarkan Jabatan Tenusu, Perikanan dan Sumber Haiwan Bihar pada Selasa selepas banjir kilat dahsyat di Nepal menyebabkan air dari Sungai Trishuli mengalir ke Bihar melalui Sungai Gandak dan Kosi.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, penduduk di daerah East dan West Champaran, Gopalganj, Bagaha dan Saran dilaporkan menangkap ikan besar yang kelihatan 'pelik' dan tidak diketahui.
Sebahagian penduduk turut mendakwa jatuh sakit selepas memakan ikan berkenaan secara tidak sengaja, manakala beberapa nelayan mendakwa melihat bangkai manusia dan haiwan yang mereput di dalam air banjir.
Menteri Perikanan Bihar, Nand Kishor Ram berkata, nasihat menyeluruh telah dikeluarkan bagi mengelakkan risiko pencemaran dan orang ramai diminta tidak menganggap ikan yang tidak dikenali sebagai selamat untuk dimakan.
Menurut jabatan berkenaan, ikan dari kolam, sungai, tasik dan takungan air boleh berpindah dan tersebar bersama arus banjir.
Pendedahan kepada saliran tercemar, bangkai haiwan serta bahan pencemar lain menyebabkan ikan yang ditangkap dari air banjir berisiko mengandungi bakteria, virus dan patogen lain.
Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak membeli atau menjual ikan berkenaan sehingga keadaan alam sekitar dan paras sungai kembali stabil.
Mereka yang mengalami gejala seperti muntah, cirit-birit, sakit perut, pening atau kesukaran bernafas selepas memakan ikan terbabit diminta mendapatkan rawatan segera di pusat kesihatan berdekatan.
Selain ikan, banjir dari Nepal turut membawa sejumlah besar kelodak, lumpur, batu, batang pokok dan serpihan ke sungai di Bihar.
Antara bahan yang dilaporkan dihanyutkan termasuk serpihan jambatan, komponen projek hidroelektrik yang rosak, kenderaan, barangan rumah dan tong gas LPG dari kawasan yang dilanda banjir.
Keadaan itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap pencemaran sumber air apabila air banjir bercampur dengan sumber air minuman seperti pam tangan dan telaga.
Pihak berkuasa bimbang keadaan tersebut boleh meningkatkan risiko penyakit bawaan air termasuk cirit-birit, taun, demam kepialu serta hepatitis A dan E.
Air bertakung pula berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk, sekali gus meningkatkan risiko denggi, malaria dan chikungunya serta jangkitan kulit dan mata.
Dalam pada itu, penduduk di daerah yang terjejas digesa mengelakkan sentuhan dengan air banjir jika boleh dan mematuhi arahan pihak berkuasa sehingga paras sungai kembali stabil.