SHAH ALAM - Sebanyak 10 amanah besar perlu diberi perhatian dalam usaha membina dan mewariskan Malaysia yang lebih baik kepada generasi 2057, sekali gus menjadikan #Malaysia100 sebagai hala tuju bersama menjelang 100 tahun kemerdekaan negara.
Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, amanah itu merangkumi usaha membina negara yang berdaulat, ekonomi yang memberi kesejahteraan, generasi berilmu dan berakhlak serta pendidikan sebagai projek pembinaan bangsa.
Menurutnya, Malaysia juga perlu memastikan negara bersatu tanpa menghapuskan kepelbagaian, institusi yang kuat dan berintegriti, alam sekitar lebih baik, teknologi dikuasai tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan, keluarga dan komuniti diperkukuh sehinggalah membina budaya aman.
"Malaysia mesti mempunyai kemampuan menentukan kepentingan nasional sendiri. Kita tidak mahu negara yang terlalu bergantung kepada kuasa besar untuk makanan, teknologi, tenaga, pertahanan, kewangan dan keperluan strategik.
"Kita mesti membina kedaulatan makanan, tenaga, teknologi, kesihatan, pertahanan dan ekonomi. Merdeka bermaksud mempunyai pilihan," katanya pada Selasa.
Beliau mengulas kempen Legasi #Malaysia100 oleh Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Yayasan Sinar Untuk Malaysia, Datuk Hussamuddin Yaacub sempena Hari Kebangsaan.
Visi #Malaysia100 ialah hala tuju bersama demi membina dan mewariskan sebuah negara yang lebih baik menjelang ulang tahun ke-100 kemerdekaan negara pada 2057.
Hussamuddin berkata, tempoh 30 tahun yang berbaki hanyalah merentasi satu generasi, manakala wajah Malaysia yang bakal diterima anak cucu pada waktu itu sedang dibentuk oleh tindakan masyarakat hari ini.
Beliau meluahkan kebimbangan apabila banyak masa negara kini terbuang dengan pertelingkahan isu kaum, agama dan politik, sedangkan usaha memperbaiki sistem serta institusi negara perlu digerakkan serta-merta tanpa mengira latar belakang atau ideologi.
Mengulas lanjut mengenai gagasan itu, Mohd Azmi turut berpandangan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkat belum tentu bermaksud rakyat hidup lebih baik.
"Menjelang 2057, ukuran kejayaan ekonomi mesti melihat kepada pendapatan sebenar rakyat, kos sara hidup, pemilikan aset, keselamatan pekerjaan, kemampuan memiliki rumah, kualiti pendidikan dan kesihatan serta pengagihan kekayaan," ujarnya.
Mohd Azmi berkata, aspek pendidikan juga perlu diberi perhatian dengan sekolah dan universiti tidak hanya menjadi tempat mengejar keputusan peperiksaan, sebaliknya menjadi ruang membina ilmu, akhlak, kemahiran, kepimpinan, kreativiti dan tanggungjawab sosial.
"Pelaburan terbesar negara sebenarnya bukan lebuh raya, bangunan atau teknologi. Pelaburan terbesar ialah manusia," kongsinya.
Justeru, beliau berpandangan, anak-anak Malaysia mesti dibentuk menjadi generasi yang mampu berfikir secara kritikal, menguasai teknologi, memahami sejarah, menghormati perbezaan, mempunyai disiplin, berintegriti dan mempunyai keberanian mempertahankan kebenaran.
Dalam pada itu, katanya, Malaysia perlu membina negara yang bersatu tanpa menghapuskan kepelbagaian agama, etnik, bahasa dan budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti negara.
Beliau berkata, negara juga tidak boleh bergantung kepada individu yang baik semata-mata, sebaliknya memerlukan institusi yang kukuh dan berintegriti.
Menurutnya, alam sekitar juga perlu diwariskan dalam keadaan lebih baik dengan memberi perhatian kepada aspek air, hutan, biodiversiti, tenaga bersih, bandar mampan, pertanian lestari dan perubahan iklim.
Mengulas aspek teknologi pula, Mohd Azmi berkata, Malaysia tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, bioteknologi dan teknologi baharu, sebaliknya perlu menjadi pencipta dan pemilik teknologi strategik.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh keluarga dan komuniti kerana negara yang kukuh bermula daripada keluarga yang kukuh.
“Masjid, sekolah, persatuan penduduk, NGO dan institusi masyarakat mesti menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan negara.Negara tidak boleh dibina oleh kerajaan sahaja,” tambahnya.