KEMERDEKAAN bukan sekadar tentang kibaran Jalur Gemilang, perbarisan atau kemeriahan sambutan setiap 31 Ogos. Lebih besar daripada itu ialah persoalan apakah jenis negara yang mahu kita wariskan kepada generasi akan datang.
Menjelang 2057, Malaysia bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-100. Tempoh 30 tahun mungkin kelihatan panjang, tetapi hakikatnya ia hanya satu generasi.
Apa yang kita lakukan hari ini akan menentukan wajah Malaysia yang diwarisi anak dan cucu kita kelak.
Gagasan #Malaysia100 yang dicetuskan oleh Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub wajar dilihat sebagai tanggungjawab bersama, bukan sekadar slogan menyedapkan halwa telinga semata-mata.
Kita tidak boleh terus membazir masa dan tenaga dengan pertelingkahan tidak berkesudahan berkaitan kaum, agama dan politik, sedangkan banyak perkara asas dalam negara masih memerlukan pembaikan segera.
Rasuah, salah guna kuasa, ketirisan dan kelemahan institusi tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa. Lebih membimbangkan apabila masyarakat memilih untuk berdiam diri kerana menganggap perubahan terlalu sukar atau tidak menguntungkan kepentingan sendiri.
Apa yang rosak mesti diperbaiki. Apa yang tidak adil mesti ditegur. Apa yang salah jangan dinormalisasikan hanya kerana pelakunya mempunyai kedudukan, kuasa atau pengaruh.
Pembinaan Malaysia masa depan juga tidak bermula di Putrajaya semata-mata. Ia bermula di rumah melalui pendidikan nilai, pembentukan akhlak, cara kita menghormati perbezaan dan keberanian memilih pemimpin yang berintegriti.
Kemajuan fizikal tanpa integriti hanya akan melahirkan negara yang hebat pada pandangan luar tetapi rapuh dari dalam.
Kita mungkin tidak berada di sini untuk melihat Malaysia pada 2057, tetapi anak cucu kita akan berada di sana.
Hakikatnya, Malaysia 2057 sedang dibentuk hari ini. Jangan sampai kita mewariskan negara yang maju bangunannya, tetapi retak jiwanya. Kasihan anak cucu kita nanti.