Tugas berat Bardiani galas cabaran Itali di LTdL26

Iklan
Pelumba Bardiani CSF 7 Saber bakal menggalas tugas berat untuk mengembalikan reputasi pasukan profesional Itali dalam edisi ke-30 LTdL26 yang berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober depan.

BARDIANI CSF 7 Saber menggalas tugas berat untuk mengembalikan reputasi pasukan profesional Itali dalam edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober depan.

Sebagai satu-satunya wakil Itali dalam saingan kali ini, pasukan berstatus ProTeam itu hadir dengan misi mengulangi kejayaan pasukan negara berkenaan yang pernah mencipta nama dalam sejarah LTdL.

Iklan
Iklan

Bardiani yang dikendalikan pengurus Mirko Rossato telah menyenaraikan enam pelumba utama iaitu Luca Covili, Santiago Cruz Martinez, Martin Herreno, Andrea Montagner, Manuel Tarozzi dan Marco Manenti, manakala Filippo Cettolin, Santiago Ferraro serta Matteo Turconi disenaraikan sebagai pelumba simpanan.

Pasukan berpangkalan di Reggio Emilia itu bukan asing di LTdL selepas membuat penampilan sulung pada 1999 menerusi nama Navigare-Gaerne sebelum melalui beberapa perubahan penjenamaan seperti Scrigno, Ceramica, Panaria-Fiordo, CSF Group, Colnago CSF, VF Group dan Green Project.

Iklan

Namun, prestasi mereka kebelakangan ini agak sederhana apabila hanya menduduki tempat keempat keseluruhan berpasukan pada LTdL25, selain berada di tangga ke-10 pada 2024 dan ketujuh pada 2023.

Kali terakhir pasukan Itali muncul juara klasifikasi berpasukan keseluruhan LTdL ialah menerusi Wilier Triestina-Selle Italia pada 2018 yang kini dikenali sebagai Vini-Zabu.

Iklan

Covili, 29, menjadi sandaran utama selepas mencatat kedudukan ketujuh keseluruhan LTdL tahun lalu, selain pengalaman menyertai enam Grand Tour dan tujuh perlumbaan Klasik.

Turut diberi perhatian ialah dua pelumba muda Colombia, Cruz Martinez, 20, dan Herreno, 19, yang dijangka memainkan peranan di laluan mencabar membabitkan pendakian Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Tarozzi, 28, juga mampu menjadi ancaman selepas pernah muncul juara Peringkat 6 LTdL24 di Kulai selain memiliki pengalaman beraksi dalam tiga Grand Tour dan empat perlumbaan Klasik.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal percaya Bardiani masih antara pasukan ProTeam Itali yang memiliki reputasi tinggi berdasarkan sejarah penyertaan mereka dalam perlumbaan berkenaan.

“Mutu kayuhan Bardiani CSF 7 Saber tidak jauh beza berbanding dua pasukan ProTeam Itali lain seperti Polti VisitMalta dan Solution Tech NIPPO Rali.

“Mereka antara pasukan awal yang memberi maklum balas kepada kami, selain mempunyai daya tarikan tersendiri kerana sejarah penyertaan dalam LTdL, termasuk dominasi ‘kereta api oren’ oleh Graeme Brown dan Brett Lancaster suatu ketika dulu,” katanya.

LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries akan meliputi jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer dengan lapan peringkat bermula dari Shah Alam ke Kampar sejauh 193km dan berakhir di Putrajaya menerusi laluan Muar-Putrajaya sejauh 183.8km.

Kejohanan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) itu turut mendapat sokongan penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).