TEMERLOH - Keadaan jenazah tiga beranak yang maut dalam nahas 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) di Temerloh, Pahang dikatakan masih sempurna meskipun kereta dinaiki mereka mengalami kerosakan teruk.
Perkara itu mengundang rasa sebak dalam kalangan warga maya yang mengikuti perkembangan kes tersebut sejak malam Isnin.
Menurut seorang pengguna Threads @fatihahkichee, dia memaklumkan keadaan jenazah berdasarkan cerita daripada ibu saudara salah seorang mangsa.
"Seperti yang diceritakan oleh mak cik arwah, jenazah sempurna. Tak macam yang disebut-sebut netizen,” katanya pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut, empat cedera dalam nahas libatkan 11 kenderaan di LPT1
Nahas 4 maut: Lori tangki hilang kawalan rempuh 10 kenderaan
Nahas 11 kenderaan: Polis sahkan empat maut termasuk suami, isteri dan anak lelaki 4 tahun
Nahas 4 maut: 'Bila tengok gambar kemalangan, saya rasa itu kereta anak' - Bapa mangsa
Dia turut menyifatkan jenazah ketiga-tiga mangsa seolah-olah mendapat perlindungan ALLAH SWT, selain menerima kehadiran orang ramai termasuk saudara-mara dan sahabat yang memenuhi saf ketika solat jenazah.
“Lautan manusia hadir untuk solat jenazah. Ramai sangat, Masya-ALLAH.
"Punya ramai yang datang solat jenazah sampai tak muat saf. Kematian yang dicemburui. Apa agaknya amalan arwah,” tulisnya.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang mendoakan agar ketiga-tiganya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Nur Atiqah Sofiya, 32, bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4, meninggal dunia selepas Proton S70 dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan.
Seorang lagi mangsa, Seow Beng Wain, 55, yang juga penumpang Honda CR-V, turut maut dalam nahas berkenaan.
Kemalangan itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori tangki, Toyota Alphard, Toyota Hilux, Honda CR-V, dua Proton Saga, dua Perodua Myvi dan sebuah Perodua Aruz.