IPOH - Pintas Utama Sdn Bhd menyalurkan sumbangan komputer riba bernilai hampir RM200,000 kepada pelajar daripada keluarga yang memerlukan bagi membantu memperkasakan pendidikan dan pembelajaran digital golongan berkenaan.
Sumbangan itu disalurkan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan melalui Program Kerjasama Wakalah dalam satu seminar kecemerlangan SPM 2026 - Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal (SBBP) Zon Tengah, yang berlangsung di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama Datuk Marhalim Mohamed berkata serahan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha syarikat membantu melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing, khususnya memastikan pelajar mempunyai akses kepada kemudahan teknologi dan pembelajaran digital.
"Kami percaya akses kepada pendidikan terbaik ialah peluang yang sewajarnya diberikan kepada setiap pelajar kerana mereka mempunyai potensi besar untuk mencorakkan masa hadapan negara.
"Dalam persekitaran pendidikan hari ini, komputer riba bukan lagi sekadar kemudahan tambahan, sebaliknya telah menjadi keperluan penting bagi membolehkan pelajar mengakses bahan pembelajaran, melaksanakan tugasan serta meningkatkan kemahiran digital mereka,” katanya dalam kenyataan bersempena dengan majlis penyerahan itu.
Penyerahan sumbangan 50 unit komputer riba itu disempurnakan wakil Pintas Utama dan disaksikan Ketua Pegawai Operasi Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Wan Maizura Wan Zahari serta Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Pintas Utama Rohizan Omar.
Penyerahan berkenaan kesinambungan daripada pelaksanaan inisiatif Pintas Utama di Perak sebelum ini, yang telah menyumbangkan 30 unit komputer riba kepada pelajar dalam satu program di Manjung pada 26 Ogos lepas.
Sehari sebelum itu, Pintas Utama turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada lebih 80 orang asnaf di Masjid Al-Ikhwan, Tanjong Malim, Perak, bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul dan Bulan Kebangsaan.
Sumbangan berkenaan mencerminkan komitmen Pintas Utama dalam memastikan manfaat daripada pelaksanaan wakalah zakat dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan secara berkesan, sekali gus membantu meringankan beban keluarga dalam menyediakan kemudahan pembelajaran yang mencukupi.
Pada masa yang sama, Pintas Utama turut terlibat dalam pelaksanaan beberapa projek infrastruktur di negeri Perak, khususnya melibatkan kerja penyelenggaraan dan pembaikan cerun serta pembangunan sistem pembentungan.
Dalam pada itu, Marhalim berkata pembangunan sesebuah kawasan tidak seharusnya dilihat daripada aspek infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat.
"Sebagai syarikat yang turut terlibat dalam pelaksanaan projek infrastruktur di Perak, kami melihat tanggungjawab kepada komuniti sebagai sebahagian daripada ekosistem pembangunan yang lebih menyeluruh
"Infrastruktur yang baik perlu disokong oleh masyarakat yang mempunyai akses kepada pendidikan, peluang dan kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya.
Justeru, Pintas Utama akan terus memainkan peranan bukan sahaja sebagai syarikat yang mempunyai kepakaran dalam sektor pembinaan, malah sebagai rakan strategik dalam menyokong pembangunan sosioekonomi serta kesejahteraan komuniti, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan di Perak dan seluruh negara.
Sementara itu, seorang penerima sumbangan Ayuni Natasha Muhammad Zamrud, 17, menyifatkan pemberian itu sebagai amat bermakna dalam membantu persiapannya menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kerana sebelum ini dia tidak pernah memiliki komputer riba.
"Sumbangan itu sangat membantu, saya boleh terus menghantar tugasan kepada guru untuk disemak, malah membolehkan saya membuat latihan sendiri dan mendapatkan semakan guru untuk memperbaiki kelemahan,” kata anak bongsu daripada lima adik-beradik itu.
Bagi Muhammad Fadzli Sharolmuni, 17, pula sumbangan komputer riba itu amat besar ertinya kerana sebelum ini dia terpaksa menyiapkan kerja kursus di makmal komputer sekolah atau kafe siber.
Anak yatim dari lapan adik-beradik itu berkata keadaan ekonomi keluarganya menyebabkan pembelian komputer riba bukan satu perkara yang mudah memandangkan ibunya menghidap strok dan tidak dapat bekerja.
"Kami bergantung kepada bantuan daripada kakak dan abang berusia 27 dan 26 tahun sebagai tonggak utama keluarga,” katanya. -Bernama