PUTRAJAYA - Perbincangan dua hala berkaitan isu rentas sempadan dan perkongsian pengetahuan antara inti pati dibincang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam membanteras rasuah.
Perkara itu dibincangkan menerusi penyertaan SPRM dalam Mesyuarat Plenari Ke-7 Global Operational Network of Anti-Corruption Law Enforcement Authorities (GlobE Network) yang berlangsung dari 25 hingga 28 Ogos 2026 di Vienna International Centre (VIC), Austria.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, platform ini memberi ruang untuk mengadakan perbincangan dua hala dan pelbagai hala, berkongsi pengetahuan dan perkembangan semasa serta membincangkan isu kerjasama rentas sempadan.
“Kerjasama langsung dan pertukaran maklumat secara tidak formal dan pantas antara pihak berkuasa anggota amat penting bagi menyokong siasatan, khususnya apabila sesuatu kes melibatkan transaksi kewangan, aset atau pihak yang berada di luar negara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Penyertaan kali ini merupakan Mesyuarat Plenari GlobE Network keempat yang dihadiri SPRM sejak menyertai rangkaian tersebut pada Mei 2023.
Ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan SPRM untuk memanfaatkan jaringan kerjasama antarabangsa dalam menyokong siasatan rasuah rentas sempadan, pengesanan aliran kewangan haram dan pemulihan aset.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin turut berkongsi pengalaman Malaysia dalam mengendalikan kes-kes rasuah rentas sempadan, termasuk kes yang melibatkan bidang kuasa luar pesisir menerusi sesi panel 'Following the Money: Fake Invoices and Offshore Trails'.
Beliau antara lain menyentuh cabaran perundangan dan pembuktian apabila maklumat serta keterangan perlu diperoleh dari luar negara dan memenuhi keperluan undang-undang yang mempunyai bidang kuasa berbeza.
Abd Halim sebelum itu mengetuai beberapa pertemuan dua hala bersama pihak berkuasa anggota dari Mauritius, United Kingdom, China, Mongolia, Syria, Ukraine dan Kuwait bagi membincangkan perkembangan kes yang sedang dikendalikan serta meneroka bidang kerjasama berpotensi.
Beliau turut mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Vienna bagi memperkukuh hubungan antara SPRM dengan perwakilan Malaysia di Austria.
Penyertaan SPRM dalam Mesyuarat Plenari Ke-7 GlobE Network itu memperkukuh peranan Malaysia dalam jaringan penguatkuasaan antirasuah antarabangsa, khususnya dalam menyokong penyiasatan rentas sempadan, pengesanan aset dan usaha membanteras aliran kewangan haram.
Antara agenda utama Mesyuarat Plenari Ke-7 ialah perbincangan berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dalam siasatan rasuah selain membincangkan usaha memperkukuh prestasi, kelestarian kewangan dan hala tuju strategik rangkaian.