LINDUNG 24 Jam hasil libat urus panjang, bukan keputusan sepihak PERKESO

Iklan
Abdul Halim

SHAH ALAM - Pelaksanaan Skim LINDUNG 24 Jam bukan keputusan sebelah pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebaliknya hasil proses libat urus yang panjang bersama wakil pekerja, majikan, kesatuan sekerja dan pihak berkepentingan.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, usaha memperluaskan perlindungan kepada kemalangan di luar waktu bekerja telah dibincangkan sejak 2018 menerusi siri libat urus di 13 lokasi di seluruh negara melibatkan lebih 1,400 peserta, termasuk wakil pekerja, majikan, kesatuan sekerja dan MTUC sendiri.

Iklan
Iklan

Beliau yang menganggotai Lembaga PERKESO sebagai wakil pekerja sejak 2005 turut terlibat dalam perbincangan bersama PERKESO ketika konsep dan pelaksanaan skim itu diperincikan

"MTUC sendiri merupakan antara organisasi yang terlibat dalam proses tersebut. Selepas itu, perbincangan mengenai cadangan skim ini terus berlangsung apabila konsep dan pelaksanaannya semakin diperincikan.

Iklan

"Saya sendiri pernah terlibat dalam perbincangan mengenainya bersama Perkeso," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor memaklumkan, piket akan diadakan di seluruh pejabat Perkeso bagi mendesak agensi itu mengadakan perbincangan berhubung pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Bekerja Sendiri (SKBBK), termasuk kadar caruman pekerja dan majikan.

Iklan

Menurutnya, Majlis Am MTUC sebelum ini telah membuat keputusan agar perbincangan dan sesi libat urus berhubung SKBBK diadakan segera, namun gagal mendapat perhatian sewajarnya.

Beliau mendakwa, pekerja dikenakan caruman tambahan sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja, sekali gus bermakna pekerja yang menerima gaji minimum RM1,700 perlu membayar tambahan RM12.75.

Kamarul Baharin berkata, pihaknya berharap PERKESO menangguhkan kutipan caruman tambahan sehingga perbincangan dan sesi libat urus bersama pertubuhan pekerja diadakan.

Bagaimanapun, Abdul Halim menegaskan, fakta berlaku menunjukkan bahawa LINDUNG 24 Jam bukan keputusan sepihak PERKESO, sebaliknya hasil proses penelitian dan libat urus yang panjang.

Justeru, beliau berkata, kenyataan Setiausaha Agung MTUC berhubung LINDUNG 24 Jam itu tidak seharusnya dianggap sebagai pendirian kolektif keseluruhan kepimpinan dan keanggotaan MTUC.

Katanya, sebarang pendirian yang dibawa atas nama MTUC sewajarnya terlebih dahulu melalui proses perbincangan dan persetujuan bersama.

“Saya menghormati hak setiap pemimpin kesatuan untuk menyuarakan pandangan dan memperjuangkan kepentingan pekerja.

“Namun, saya kurang bersetuju dengan kenyataan yang dibuat yang melihatkan seolah-olah LINDUNG 24 Jam diperkenalkan tanpa proses libat urus dengan pekerja dan pihak berkepentingan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, sekiranya masih terdapat perbezaan pandangan mengenai kadar caruman, kaedah pelaksanaan atau perkara lain berkaitan skim berkenaan, ruang perbincangan masih terbuka dan harus dimanfaatkan.

“Saya memahami bahawa dalam keadaan kos sara hidup yang mencabar, setiap ringgit yang dikeluarkan oleh pekerja mempunyai nilai. Kebimbangan mengenai kadar caruman tidak boleh dipandang ringan.

“Namun, kita juga tidak boleh membincangkan caruman tanpa membincangkan perlindungan yang datang bersamanya,” katanya.

Kongsi Abdul Halim, skim itu diwujudkan untuk menutup jurang perlindungan kerana kemalangan tidak hanya berlaku ketika seseorang sedang bekerja.

"Seseorang pekerja boleh mengalami kemalangan ketika bersama keluarga, melakukan urusan harian, bersukan, berada di rumah atau dalam perjalananan yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan pekerjaannya," ujar beliau.

"Apabila perkara itu berlaku, kesannya tetap sama kepada keluarga. Pekerja mungkin hilang keupayaan untuk bekerja, pendapatan keluarga boleh terjejas dan mereka mungkin memerlukan rawatan serta rehabilitasi untuk suatu tempoh yang panjang," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa gesaan supaya PERKESO menghentikan kutipan caruman perlu dinilai dengan berhati-hati kerana apabila caruman dihentikan, perlindungan turut terhenti.

Menurutnya, laporan sekitar 45 kes sehari di bawah LINDUNG 24 Jam menunjukkan bahawa kemalangan di luar waktu bekerja ialah risiko sebenar yang berlaku setiap hari, bukan sekadar kemungkinan di atas kertas.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, isu remunerasi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO tidak sepatutnya dicampuradukkan dengan persoalan keperluan perlindungan 24 jam kepada pekerja.

Katanya, sebarang persoalan mengenai remunerasi boleh dibincangkan dan dijelaskan berdasarkan fakta melalui saluran sewajarnya.

“MTUC mesti terus menjadi suara pekerja. Bagi saya, menjadi suara pekerja bukan hanya bermaksud mempersoalkan apa yang mereka bayar.

“Ia juga bermaksud memastikan apa yang mereka peroleh sebagai perlindungan benar-benar mampu menjaga mereka dan keluarga apabila diperlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Halim tidak bersetuju dengan cadangan mengadakan piket di pejabat PERKESO di seluruh negara bagi membantah pelaksanaan LINDUNG 24 Jam.

“Piket merupakan salah satu instrumen yang sah dalam perjuangan kesatuan sekerja. Namun, dalam isu LINDUNG 24 Jam, saya percaya pendekatan yang lebih baik adalah untuk meneruskan dialog dan membincangkan apa juga kebimbangan pekerja secara terbuka dan berasaskan fakta,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak supaya mengutamakan dialog sekiranya terdapat kebimbangan mengenai kadar caruman atau pelaksanaan LINDUNG 24 Jam.

“Jika kadar caruman perlu dibincangkan, kita bincangkan. Jika pelaksanaan boleh diperbaiki, kita perbaiki. Jika ada kebimbangan pekerja yang belum dijawab, kita dengar dan cari penyelesaiannya.

“Tetapi janganlah dalam usaha mempertikaikan caruman, kita akhirnya menjejaskan perlindungan yang pekerja sendiri perlukan,” katanya.