AGROBANK menyasarkan pembiayaan sebanyak RM200 juta disalurkan kepada pekebun kecil sawit menerusi sistem Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 menjelang Oktober ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, setakat ini sebanyak 4,380 permohonan membabitkan nilai RM190.99 juta telah diterima bagi membantu pekebun kecil melaksanakan penanaman semula sawit.
Katanya, pembiayaan berkenaan melibatkan kawasan tanaman sawit seluas lebih 12,197 hektar dengan skim itu dikhususkan kepada pekebun kecil yang mengusahakan kawasan seluas 10 hektar dan ke bawah.
“Kita sasarkan sebanyak RM200 juta akan siap dibiayai sehingga Oktober tahun ini dan insya-ALLAH, kalau tidak ada apa-apa halangan, mungkin Kementerian Kewangan (MOF) akan menambah peruntukan untuk tahun akan datang.
“RM200 juta ini untuk pekebun kecil kelapa sawit yang mempunyai kawasan 10 hektar dan ke bawah,” katanya ketika ditemui pemberita selepaspelancaran Sistem TSPKS 2.0 sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada petang Selasa.
Majlis pelancaran sistem berkenaan disempurnakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.
Tengku Ahmad Badli berkata, sistem TSPKS 2.0 yang dilancarkan menerusi kerjasama strategik Agrobank dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merupakan platform digital yang dibangunkan bagi memudahkan proses permohonan pembiayaan, pemantauan dan tindakan susulan untuk pekebun kecil sawit.
Menurutnya, menerusi sistem itu, Agrobank dan MPOB boleh memantau status permohonan menggunakan platform sama, sekali gus mengurangkan proses berulang serta mempercepat tindakan kedua-dua pihak.
“Segala proses pembiayaan yang kita lakukan boleh dipantau dan semua permohonan juga boleh dipantau secara menyeluruh daripada permohonan dikemukakan sehingga pembiayaan dikeluarkan.
“Melalui sistem ini juga maklumat dan dokumen sokongan diperoleh pegawai MPOB ketika lawatan tapak termasuk gambar kebun boleh dimuat naik untuk rujukan Agrobank dalam memproses pembiayaan,” ujarnya.
Kata beliau, pada masa sama, Agrobank akan mengemas kini status permohonan menerusi platform sama bagi membolehkan MPOB mengambil tindakan susulan, sekali gus mewujudkan proses lebih terselaras antara kedua-dua agensi.
“TSPKS 2.0 merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu pekebun kecil sawit persendirian menanam semula pokok sawit tua atau kurang produktif melalui akses pembiayaan lebih mampu milik.
“Skim yang meneruskan pelaksanaan TSPKS 1.0 ini dilaksanakan menerusi kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), MPOB serta Agrobank dengan dana merangkumi 50 peratus geran dan 50 peratus pembiayaan kepada pekebun kecil yang layak,” kata beliau lagi.
Usaha tersebut bukan sahaja membantu pekebun kecil melaksanakan penanaman semula secara lebih terancang, malah menyokong peningkatan produktiviti, daya tahan usaha tani dan kemampanan sektor sawit negara dalam jangka panjang.