BALIK PULAU- Polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang lelaki yang diperlukan sebagai saksi bagi membantu prosiding perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, saksi berkenaan diperlukan bagi membantu prosiding kes di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Iklan
Iklan
Menurutnya, saksi berkenaan ialah Abu Ubaidah Jamalludin, 34 yang mempunyai alamat terakhir di 11-4-12, Desa Pinang 1, Lebuh Sungai Pinang 1.
“Individu berkenaan dikehendaki hadir pada 4 September ini, jam 9 pagi di Bilik Pengurusan 2, Aras Bawah, Bangunan Warisan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Kompleks Mahkamah Pulau Pinang, Lebuh Light,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Anuwal berkata, saksi berkenaan atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai lokasinya diminta menghubungi Inspektor Norazean Baharin, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Daerah Barat Daya di talian 019-4415166 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat amat dihargai bagi membantu pihak polis melengkapkan siasatan dan prosiding kes,” katanya.