SHAH ALAM – Waris kepada salah seorang rakyat Malaysia yang gagal dihubungi susulan tragedi banjir kilat di Nepal memaklumkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) ahli keluarganya akan diambil pada Rabu.
K. Divya Varshini, 29, berkata, prosedur itu akan dijalankan di kediaman keluarganya di Puchong bagi membantu proses mengenal pasti bapanya, V. Krishnan, 74, yang terputus hubungan sejak hari kejadian.
“Setakat ini, tiada perkembangan baharu yang diterima keluarga kami dan kami bersedia untuk melalui segala proses yang diperlukan,” katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Tambah Divya, keluarganya masih belum menerima sebarang maklumat terkini berhubung kejadian tersebut.
“Pada tahap ini, kami bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan,” katanya.
Sementara itu, Sivakumar Kalimuthu, 63, berkata, keluarganya masih belum menerima sebarang panggilan berhubung pengambilan sampel DNA mahupun perkembangan rasmi mengenai keadaan isterinya, Kalai Mathe Karuppaiah, 57.
“Selepas pertemuan dengan Wisma Putra, tiada perkembangan baharu dan anak kami juga belum menerima sebarang panggilan untuk pengambilan sampel DNA.
“Setakat ini, kami hanya mampu menunggu dan mengharapkan berita yang baik dari sana,” katanya.
Kedua-dua mangsa merupakan antara 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan masih gagal dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh yang berlaku pada 26 Ogos lalu.
Mereka dilaporkan terputus hubungan ketika mengikuti upacara keagamaan di Gunung Kailash, yang merupakan antara lokasi suci bagi penganut Hindu dan menjadi sebahagian daripada perjalanan keagamaan mereka.
Bencana itu berlaku apabila glasier di Gunung Langtang Lirung, Nepal, pecah pada ketinggian kira-kira 5,200 meter, sekali gus mencetuskan runtuhan ais dan batuan yang bertukar menjadi aliran puing berskala besar.
Aliran air deras serta tanah runtuh berlumpur memusnahkan kawasan Rasuwa, Nuwakot, Dhading, Kavre dan Lembah Kathmandu di Nepal, selain menimbus lintasan sempadan Gyirong yang menghubungkan Nepal dengan wilayah Tibet di China.