RANTAU PANJANG - Pergolakan yang berlaku di tiga wilayah selatan Thailand iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani tidak menghalang rakyat Malaysia untuk terus melancong ke negara Gajah Putih itu lebih-lebih lagi pada musim cuti sekolah dan cuti umum.
Tinjauan Sinar Harian di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang pada Isnin mendapati masih ada kenderaan tempatan memasuki Thailand walaupun jumlahnya berkurangan.
Kebiasaannya setiap kali hujung minggu atau cuti panjang, suasana di pintu masuk sempadan akan mengalami kesesakan lalu lintas sehingga lebih satu kilometer.
Bagaimanapun, apa yang berlaku pada kali ini adalah sebaliknya apabila trafik dilihat lancar.
Pekerja swasta yang ingin dikenali sebagai Yusri Ngah, 43, berkata, sempena cuti sekolah kali ini dia bersama isteri dan empat anak sempat ke Pattani untuk bercuti selama tiga hari dua malam.
"Kebetulan kami ada keluarga di sana. Sambil ziarah peluang ini digunakan untuk bercuti.
"Bagaimanapun, kami sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa bagi mengelak Closeperkara tidak diingini berlaku," katanya.
Terdahulu media melaporkan, lebih 70 lokasi di empat wilayah selatan Thailand dilanda siri serangan bom dan khianat bakar yang disyaki dilakukan kumpulan pemberontak pada hujung minggu lalu sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya tiga individu cedera.
Pihak berkuasa merekodkan sekurang-kurangnya 78 insiden dengan Narathiwat mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 40 kejadian, diikuti Yala (21), Pattani (15) dan Songkhla (dua).
Dalam pada itu Yusri berkata, pergolakan di selatan Thailand sudah biasa berlaku dan saudara maranya di sana juga sentiasa melaporkan situasi terkini.
Dia mengakui wujud perasaan takut dalam dirinya akibat pergolakan yang berlaku, namun menggapnya ia bukan isu besar kerana sudah terbiasa dengan khabar tersebut selain mempunyai keluarga di sana.
Sementara itu, Maisarah Rashid, 37, pula memberitahu, percutiannya ke Hatyai sempena cuti sekolah sudah lama dirancang dan tempahan kemudahan juga telah dibuat lebih awal.
"Kami dimaklumkan di sana (Hatyai) tiada pergolakan berlaku serta selamat tapi bimbang tetap ada, lebih-lebih lagi kami masuk bersama anak-anak kecil.
"Namun, kami cuba untuk melepasi perjalanan di tiga wilayah yang berlaku pergolakan pada siang hari," katanya.
Dia memberitahu, percutian di Hatyai dipilih kerana kosnya lebih murah selain keinginan untuk merasai pengalaman berada di luar negara.
"Ini merupakan kali ketiga kami sekeluarga pergi ke sana dan berharap semuanya berjalan lancar.
"Kami juga sentiasa mengikuti perkembangan semasa negara jiran lebih-lebih lagi melibatkan selatan Thailand," tambahnya.
Sebelum ini Polis Kelantan menasihatkan rakyat Malaysia terutama penduduk di negeri ini agar menangguhkan sementara waktu perjalanan ke negara jiran susulan kejadian letupan bom yang dilaporkan berlaku di tiga daerah di selatan Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, apa yang berlaku di sana perlu diberi perhatian serius kerana insiden keganasan dilaporkan berlaku hampir setiap hari.
"Kita tidak halang kalau hendak ke sana, cuma perlu lebih hati-hati," katanya.