Polis sahkan remaja maut terkena renjatan elektrik

Iklan
Polis mengesahkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika memegang tiang lampu selepas berehat daripada bermain futsal .

KUALA SELANGOR – Polis mengesahkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika memegang tiang lampu selepas berehat daripada bermain futsal di Taman Pancaran, Bestari Jaya di sini pada malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999 daripada MECC Kuala Lumpur pada jam 10.32 malam yang memaklumkan seorang remaja lelaki tidak sedarkan diri dan disyaki meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sedang berehat ketika permainan futsal sebelum memegang sebatang tiang lampu yang disyaki mempunyai arus elektrik.

“Akibat kejadian itu, mangsa rebah di kawasan berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan

“Pemeriksaan luaran pada tubuh mangsa juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang remaja, Muhammad Anas Muazmim, 15, maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bermain futsal di Bestari Jaya pada malam Isnin.

Iklan

Azaharudin berkata, bedah siasat yang dijalankan kemudian mendapati punca kematian adalah konsisten dengan renjatan elektrik.

Menurutnya, kes tersebut kini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.