PERAK TENGAH – Masjid Lama Pulau Tiga Kiri di sini yang dianggarkan berusia hampir 100 tahun dilihat tidak lagu mampu menjadi tempat asnaf dan anak yatim menuntut ilmu agama susulan keadaannya yang semakin uzur.
Pengurus merangkap Ketua Pengurusan Khidmat Pusat Pengajian Al-Quran Bidayatul Hidayah, Hasnul Anuar Jamaludin berkata, masjid tersebut telah digunakan oleh Pusat Pengajian Al-Quran Bidayatul Hidayah (Laman Hasanah) sebagai pusat pengajian sejak 2021.
"Masjid ini sudah lama, ia berdepan kerosakan pada bumbung, struktur bangunan serta mempunyai beberapa masalah berkaitan kemudahan asas.
"Bangunan berkenaan bukan sekadar premis lama, sebaliknya menjadi tempat anak-anak yatim dan asnaf belajar al-Quran, fardu ain, menunaikan solat serta mendapatkan pendidikan agama," katanya.
Menurut beliau, pihaknya kini melaksanakan kerja pembaikan secara berperingkat mengikut tahap kerosakan dan kemampuan kewangan, namun kos penyelenggaraan bangunan berusia hampir satu abad itu bukan kecil.
Sehubungan itu, pihaknya merayu sumbangan orang ramai bagi membantu membaik pulih Masjid Lama Pulau Tiga Kiri, khususnya membabitkan bahagian yang kritikal demi memastikan aktiviti pengajian dapat diteruskan dalam keadaan lebih selamat.
"Jika ada yang mahu membantu, sumbangan mengikut kemampuan amat kami hargai. Walaupun kecil, apabila dikumpulkan, ia boleh memberi perubahan besar kepada tempat pengajian ini," katanya.
Menurut beliau, usaha berkenaan bukan hanya untuk menyelamatkan sebuah bangunan lama, tetapi memastikan anak-anak yatim dan asnaf terus mempunyai tempat yang selesa untuk mendalami al-Quran dan ilmu agama.
Jelasnya, harapan mereka supaya masjid lama itu terus berdiri dan menjadi rumah ilmu untuk generasi akan datang.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Bidayatul Hidayah Resources melalui akaun Bank Islam bernombor 0808 60100 50096 atau hubungi talian 011-60684841.