TEMERLOH - Gambar suasana sambutan Hari Kebangsaan yang dikongsi Allahyarham, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan dalam kumpulan WhatsApp keluarga ketika berada di Putrajaya kini menjadi antara kenangan terakhir buat ahli keluarganya.
Abangnya, Mohd Hafiz Rifqi, 33, berkata, Nur Atiqah, 32, sebelum itu memaklumkan ke Kuala Lumpur bersama suami dan anak lelaki mereka sempena sambutan merdeka.
“Cuma kami tidak tahu bila mereka akan balik. Jadi kami tidak menjangka apa-apa apabila tiba-tiba mendapat tahu berita kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini pada Selasa.
Nur Atiqah maut bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4, selepas Proton S70 yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) pada malam Isnin.
Seorang lagi mangsa, Seow Beng Wain, 55, yang juga penumpang Honda CR-V, turut maut dalam nahas berkenaan.
Kemalangan itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori tangki, Toyota Alphard, Toyota Hilux, Honda CR-V, dua Proton Saga, dua Perodua Myvi dan sebuah Perodua Aruz.
Berkongsi lanjut, Mohd Hafiz mengakui beliau antara waris terawal yang mengetahui berita mengenai kejadian itu selepas menerima laporan media sekitar jam 7.45 pagi.
“Dapat tahu daripada berita Sinar Harian dan kawan saya telefon saya, dia tanya betul ke tak. Saya pun memang tak sangka dan terkejut.
“Kami memang tahu mereka sekeluarga pergi ke Kuala Lumpur sebab 31 Julai ini dia pergi tengok perarakan dekat Putrajaya.
"Suami dia orang KL, jadi memang dia beritahu awal,” katanya.
Mohd Hafiz berkata, kali terakhir dia bertemu Nur Atiqah adalah pada Khamis lalu ketika adiknya bersama suami dan anak mereka datang ke rumah keluarga untuk makan bersama.
Menurutnya, pertemuan itu berlangsung seperti biasa tanpa sebarang perubahan atau perkara yang menimbulkan rasa pelik, menyebabkan berita pemergian mereka amat sukar diterima.
“Kami makan dan berbual seperti biasa. Sebab itu apabila dapat tahu berita pagi tadi, memang terkejut dan masih tidak percaya,” katanya.
Dalam pada itu, Hafiz berkata, arwah adiknya sememangnya mempunyai minat mendalam dalam bidang pembuatan kek sehingga memilih untuk meninggalkan pekerjaan terdahulu bagi mengusahakan perniagaan kafe sendiri.
“Dia memang minat buat kek. Itu memang 'passion' dia.
"Sebelum buka Secangkir Cafe, dia bekerja terlebih dahulu di Lynas, Gebeng sebelum memilih untuk menceburi bidang perniagaan.
“Alhamdulillah, kafe yang diusahakannya sejak dua tahun lalu itu juga agak dikenali dan dia mempunyai ramai kenalan serta pelanggan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut, empat cedera dalam nahas libatkan 11 kenderaan di LPT1
Nahas 4 maut: Lori tangki hilang kawalan rempuh 10 kenderaan
Nahas 11 kenderaan: Polis sahkan empat maut termasuk suami, isteri dan anak lelaki 4 tahun
Nahas 4 maut: 'Bila tengok gambar kemalangan, saya rasa itu kereta anak' - Bapa mangsa
Menurutnya, selain mengusahakan kafe, Nur Atiqah turut dikenali sebagai jurugambar di Kuantan dan aktif membina perniagaannya sendiri.
Jenazah Nur Atiqah, suami dan anaknya akan menjalani bedah siasat di Unit Forensik HoSHAS sebelum dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Paya Luas, Temerloh.
Ketiga-tiga jenazah kemudian dijangka dibawa pulang ke Kuantan untuk dikebumikan bersama di Tanah Perkuburan Islam Setali.