Ikan kanai muncul semula selepas 15 tahun 'hilang’

Iklan
Ikan Kanai ditangkap nelayan di Sungai Kuala pada 30 Ogos lalu.

GEORGE TOWN – Selepas kira-kira 15 tahun tidak direkodkan, kemunculan seekor ikan kanai atau tembaring di Sungai Kuala menarik perhatian Jabatan Perikanan Malaysia.

Spesies berkenaan berjaya ditangkap nelayan tempatan pada 30 Ogos lalu, sekali gus menjadi penemuan signifikan dari sudut rekod perikanan negara berdasarkan maklumat komuniti nelayan setempat.

Iklan
Iklan

Menurut jabatan terbabit, ikan kanai atau nama saintifiknya, Lutjanus goldiei adalah spesies pemangsa di muara sungai yang terkenal sebagai ikan sukan premium berikutan kekuatan dan ketahanannya luar biasa.

“Spesies ini lebih kerap ditemui di Sabah dan Papua New Guinea, menjadikan kemunculannya di perairan Pulau Pinang sebagai satu pemerhatian menarik dari segi taburan geografi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Jabatan Perikanan berkata, ikan kanai lazimnya mendiami kawasan muara dan pesisir sungai dipengaruhi pasang surut selain kawasan yang mempunyai tumbuh-tumbuhan bakau serta nipah.

Menurutnya, habitat itu berfungsi sebagai tempat perlindungan dan sumber makanan kepada spesies tersebut.

Iklan

“Penemuan di Sungai Kuala menunjukkan lokasi terbabit mempunyai keadaan ekologi sesuai untuk spesies ini,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Jabatan Perikanan, ikan kanai ialah spesies tempatan dan berbeza daripada spesies black bass (Micropterus salmoides).

“Sehubungan itu, kita menggalakkan amalan tangkap dan lepas (catch and release) bagi ikan kanai jarang ditemui serta sensitif terhadap perubahan persekitaran.

“Langkah ini penting bagi tujuan pemuliharaan selain memastikan kelangsungan populasi spesies tersebut di perairan negara,” katanya.