SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengutamakan kebajikan dan penambahan tenaga kerja kesihatan berbanding pemodenan sistem teknologi sekiranya mahu menangani krisis kekurangan petugas di hospital dan klinik kerajaan.
Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Dr Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, pemodenan sistem teknologi sememangnya penting, namun ia tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya fasiliti kesihatan awam masih berdepan kekurangan doktor dan petugas perubatan.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Februari lalu mengakui terdapat dua masalah struktur utama iaitu bekalan tenaga kerja yang tidak mencukupi serta agihan petugas yang tidak seimbang atau maldistribution.
“Apalah gunanya sistem internet yang laju dan rekod perubatan diselaraskan jika hospital dan klinik kerajaan tidak mempunyai doktor yang mencukupi untuk merawat pesakit.
“Bukti kegagalan sistemik ini amat ketara apabila daripada 12,198 kapasiti slot pegawai perubatan siswazah (HO) di 48 hospital latihan, hanya sekitar 6,500 atau 53 peratus berjaya diisi setakat Februari 2026,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan RM350 juta bagi mempercepatkan pendigitalan sektor kesihatan awam, termasuk memperluas ketersambungan internet dan pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi inisiatif berkenaan kepada RM1 bilion.
Bagaimanapun, Aubidullah Fahim berkata, kerajaan tidak boleh mengabaikan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang turut berlaku di peringkat kepakaran.
Katanya, berdasarkan kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pada Jun 2026, hospital awam negara beroperasi pada kapasiti tinggi namun masih berdepan kekurangan hampir 11,000 pakar perubatan.
“Keadaan tenaga kerja yang tenat ini mengakibatkan petugas kesihatan sedia ada terpaksa menanggung beban tugas yang tidak masuk akal sehingga berlaku burnout, lambakan kerja yang tidak berkesudahan dan kualiti perkhidmatan kepada pesakit semakin merosot.
“Justeru, Pemuda Pas Selangor mendesak supaya peruntukan mega ini disemak semula dan sebahagian besar dana sewajarnya disalurkan bagi menyelamatkan serta memperkukuh kebajikan petugas kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, antara langkah yang boleh dilaksanakan segera ialah menangani masalah agihan doktor tidak seimbang melalui pemberian insentif menyeluruh.
“Dengan mengadaptasi model Rural Health Workforce di Australia, kerajaan patut menggunakan dana sedia ada untuk memperkenalkan elaun kesukaran (hardship allowance) yang lebih tinggi, menyediakan perumahan selesa serta laluan kenaikan pangkat dipercepatkan (fast-track promotion).
“Langkah itu penting bagi menarik lebih ramai doktor berkhidmat di hospital daerah dan kawasan pedalaman,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan menyediakan pembiayaan penuh bagi latihan kepakaran termasuk laluan Parallel Pathway.
Menurutnya, sasaran KKM untuk mempunyai kira-kira 13,000 doktor pakar menjelang 2030 perlu disokong dengan pengukuhan latihan kepakaran dan laluan kerjaya yang lebih jelas.
“Kerajaan seharusnya menaja sepenuhnya yuran peperiksaan antarabangsa bagi Parallel Pathway, menambah peruntukan Biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), memperbanyakkan slot latihan sarjana di universiti awam serta menyerap semua pegawai perubatan kontrak yang layak ke jawatan tetap,” katanya.