KUALA LUMPUR - Enam ikhtiar yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai potensi untuk memberi nilai politik kepada Kerajaan Madani menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, manfaatnya jelas merentasi pelbagai lapisan masyarakat, daripada B40 dan M40, ibu bapa serta pelajar, golongan muda, peniaga kecil hingga pengguna perkhidmatan kesihatan awam.
Lebih penting jelasnya, ia memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk menterjemahkan agenda reformasi, penjimatan dan anti-rasuah kepada sesuatu yang boleh dirasai rakyat.
"Pada masa sama, enam ikhtiar ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar. Kemampuan kerajaan memberi manfaat kepada rakyat bergantung kepada kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi, disiplin fiskal dan keupayaan mengurangkan ketirisan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahad lalu, ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan, Anwar mengumumkan enam ikhtiar utama berhubung kelayakan BUDI95 dan langganan percuma selama tiga bulan bagi aplikasi AI terpilih kepada 100,000 belia berusia 18 hingga 30 tahun yang melengkapkan modul program AI untuk Rakyat.
Anwar turut mengumumkan peruntukan penyelenggaraan semua aliran sekolah bagi 2027 dinaikkan 50 peratus kepada RM1.5 bilion selain Geran Sejahtera Madani RM200 juta untuk membantu penjaja, peniaga pasar malam dan ibu yang berniaga dari rumah.
Beliau berkata, RM1 bilion diperuntukkan bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam selain kerajaan bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun, serta menambah RM1 bilion kemudahan pembiayaan mikro, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat kepada RM6 bilion.
Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, apabila ekonomi berkembang dan pengurusan negara lebih berkesan, ruang fiskal untuk membantu rakyat juga menjadi lebih besar.
Namun, beliau tidak melihat pengumuman itu secara automatik sebagai jaminan sokongan dalam PRU16.
Jelasnya, ia hanya akan menjadi modal politik yang kukuh sekiranya rakyat benar-benar merasai manfaatnya secara berterusan.
"Dalam pilihan raya, pengumuman boleh menarik perhatian, tetapi pengalaman rakyat terhadap keberkesanan pentadbiran akhirnya yang menentukan sokongan.
"Enam ikhtiar ini mungkin belum menjadi undi, tetapi ia memberi Perdana Menteri peluang untuk menukar hasil pentadbiran menjadi pengalaman rakyat," katanya. - Awani