'Sertai pertandingan ratu cantik transgender cemar imej Malaysia, teliti tindakan perundangan' - Menteri Agama

Iklan
Dr Zulkifli Hasan berkata, tindakan seumpama itu bukan sahaja mencemarkan imej Malaysia di persada antarabangsa, malah bertentangan dengan ajaran Islam.

SHAH ALAM - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam penyertaan seorang individu dalam pertandingan ratu cantik transgender di Bangkok, Thailand pada 30 Ogos lalu dan akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi meneliti tindakan berdasarkan perundangan sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, tindakan seumpama itu bukan sahaja mencemarkan imej Malaysia di persada antarabangsa, malah bertentangan dengan ajaran Islam, norma budaya tempatan serta nilai kesopanan dan kesusilaan yang menjadi pegangan rakyat Malaysia.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, perbuatan menyerupai jantina berlawanan (tasyabbuh) dan mempromosikan gaya hidup transgender adalah haram di sisi hukum Syarak serta dilarang di bawah perundangan syariah di negeri-negeri.

Zulkifli. FOTO FAIL SINAR HARIAN.

Iklan

"Penganjuran atau penyertaan dalam acara sedemikian tidak pernah mendapat sebarang sokongan, kebenaran, atau pengiktirafan daripada pihak berkuasa agama mahupun Kerajaan Malaysia.

"Masyarakat dianjurkan agar tidak mensensasi atau mengagung-agungkan perkara yang menyalahi syariat, sebaliknya bersama-sama mempertahankan nilai moral dan akidah ummah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, tular di media sosial video memaparkan seorang individu didakwa menjadi wakil Malaysia dalam pertandingan ratu cantik transgender peringkat antarabangsa di Thailand.

Justeru, Zulkifli menegaskan, pihak berkuasa agama akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi meneliti tindakan berasaskan perundangan sedia ada.