SHAH ALAM – Legasi #Malaysia100 perlu menjadi titik mula untuk generasi muda beralih daripada sekadar menjadi pewaris kepada memainkan peranan sebagai pembentuk masa depan Malaysia menjelang 100 tahun kemerdekaan pada 2057.
Pengerusi Sinergi Gerakan Mahasiswa (Sigma), Nurul Ainna Ramli berkata, anak muda yang bakal memegang ‘baton’ negara perlu mempersiapkan diri dengan ilmu, kesedaran dan disiplin bagi menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan.
Katanya, anak muda juga perlu mempunyai kemampuan memimpin diri sendiri terlebih dahulu sebelum bersedia memikul tanggungjawab untuk memimpin negara.
“Bukan sekadar mewarisi, tetapi membentuk. Bukan sekadar menerima, tetapi memperbaiki,” katanya mengulas mengenai pelancaran Legasi #Malaysia100 oleh Pengerusi Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters) yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub sempena Hari Kebangsaan ke-69 pada Isnin.
Legasi #Malaysia100 mengajak rakyat menggunakan tempoh setahun bermula 31 Ogos 2026 hingga 31 Ogos 2027 untuk berdialog dan mengemukakan idea bagi menentukan bentuk Malaysia yang mahu diwariskan apabila negara mencapai usia 100 tahun kemerdekaan pada 2057.
Nurul Ainna yang juga bekas Presiden Neo-Siswa Universiti Malaya (UM) berkata, Sigma menyambut baik usaha berkenaan kerana selepas 69 tahun merdeka, negara perlu menilai perubahan relevan yang masih perlu dilakukan termasuk dalam pembangunan ekonomi dan sosial.
Menurutnya, dialog itu perlu melibatkan generasi muda kerana mereka merupakan bakal pemimpin, sekali gus memberi ruang kepada kelompok berkenaan menentukan perubahan yang masih boleh dilakukan hari ini.
Dalam pada itu, Nurul Ainna berpandangan pembangunan negara tidak seharusnya menyebabkan identiti Malaysia semakin terhakis dengan seni, budaya dan kepercayaan tempatan perlu terus dipertahankan.
“Pembaikan mungkin diilhamkan oleh negara lain, tetapi ia seolah-olah menjadi gerakan meniru. Seni, budaya dan kepercayaan Malaysia semakin hilang rasa. Kita mempunyai banyak identiti yang boleh ditonjolkan seperti kesantunan, kesopanan, institusi diraja dan keagamaan.
“Anak muda juga mahu Malaysia pada 2057 menjadi sebuah negara yang lebih selamat untuk semua khususnya wanita dan kanak-kanak,” ujarnya lagi.
Menurut Nurul Ainna, aspek keselamatan wanita dan kanak-kanak perlu diberi perhatian kerana negara masih berdepan kes keganasan seksual, pembunuhan dan pembuangan bayi selain pelbagai masalah sosial.
Katanya, keadaan itu menuntut masyarakat melihat pembangunan negara bukan hanya daripada kemajuan fizikal, sebaliknya turut mengambil kira nilai kemanusiaan dan keselamatan rakyat.
“Kita hidup dengan selesa, tetapi mengapa ada antara kalangan kita yang apabila mati seolah-olah mereka tidak bernilai? Ini memang krisis kemanusiaan di negara ini.
“Kita perlu kembali kepada asas iaitu iman, integriti dan identiti sebagai rakyat Malaysia yang beragama dan berprinsip,” katanya.