TUARAN - Sembilan pelajar cedera selepas bas sewa yang membawa rombongan sebuah sekolah terbabit dalam kemalangan di simpang tiga Jalan Kota Belud-Kundasang di sini pada Isnin.
Difahamkan, bas berkenaan membawa 35 pelajar dan seorang guru bagi mengikuti lawatan ke sebuah sekolah lain.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11 pagi.
Katanya, dua anggota kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 39 kilometer dari BBP Tuaran.
"Menurut laporan, kemalangan itu melibatkan sebuah bas persiaran yang disewa untuk membawa 35 pelajar dan seorang guru dari sebuah sekolah menengah di daerah ini.
"Akibat kejadian itu, sembilan pelajar mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 12.32 tengah hari selepas pihaknya memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal.