KUANTAN – Seramai 12 bayi merdeka dilahirkan di hospital seluruh Pahang bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 pada Isnin.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr Haji Saiful Azlan Sharif berkata, kesemua kelahiran tersebut direkodkan bermula jam 12 tengah malam hingga 9 pagi.
Menurut beliau, jumlah itu melibatkan enam bayi lelaki dan enam bayi perempuan.
“Daripada jumlah tersebut, lima bayi dilahirkan secara normal manakala tujuh lagi menerusi kaedah pembedahan.
“Seramai 10 bayi berketurunan Melayu, seorang Orang Asli dan seorang lagi bukan warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kesemua bayi yang dilahirkan berada dalam keadaan sihat bersama ibu masing-masing.
Mengulas mengenai kelahiran bayi merdeka pertama tahun ini, Dr Saiful Azlan berkata, seorang bayi lelaki seberat 3.68 kilogram selamat dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh pada jam 12.12 tengah malam.
“Bayi itu merupakan cahaya mata kepada pasangan yang terdiri daripada seorang ibu yang bertugas sebagai penyelia asrama di sebuah Sekolah Menengah Agama dan bapa yang bekerja sebagai mekanik,” katanya.
Menurut beliau, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan merekodkan jumlah kelahiran tertinggi sempena Hari Kebangsaan tahun ini.
“HTAA mencatatkan enam kelahiran bayi.
“Ini diikuti HoSHAS dan Hospital Kuala Lipis dengan masing-masing dua kelahiran, manakala Hospital Pekan dan Hospital Raub masing-masing merekodkan seorang bayi,” katanya.