'It’s a YES!' - Air mata iringi restu Azizulhasni ke LA28

Iklan
Azizulhasni tidak dapat menahan sebak selepas mendapat pengesahan KBS dan MSN dalam misi ke LA28. Foto : Agensi.

TANGISAN kegembiraan mengiringi luahan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang selepas menerima pengesahan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) bahawa khidmatnya masih diperlukan dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Azizulhasni yang mesra disapa Jijoe berkata, berita berkenaan diterimanya menerusi e-mel daripada KBS dan MSN selepas selesai menjalani latihan di trek pada Isnin, sekali gus melegakan tekanan yang ditanggungnya sepanjang minggu lalu.

Iklan
Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: MSN nafi abaikan perancangan Azizulhasni ke LA28

Misi LA28, Malaysia masih perlukan Azizulhasni

Iklan

Pendedahan Azizulhasni mengejutkan, KBS tidak serius urus atlet - Ketua Pemuda Pas

'Lebih baik hilang menteri sebegini daripada hilang atlet banyak jasa pada negara' - Akmal Saleh

Iklan

“(Hari ini) Saya buka e-mel dan terima e-mel daripada KBS dan MSN bahawa mereka masih memerlukan khidmat saya. Saya tunggu sebelum saya ke Sukan Komanwel (Glasgow 2026) lagi dan Alhamdulillah, hari ini saya mendapat jawapan itu,” katanya sebak dan menitiskan air mata kegembiraan.

Sebelum ini, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memaklumkan menerima pengesahan daripada MSN bahawa Azizulhasni akan meneruskan usaha mengumpul mata kelayakan Olimpik menerusi acara keirin dan pecut.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, keputusan itu membolehkan Azizulhasni memberi tumpuan kepada kempen kelayakan yang bermula menerusi Kejohanan Trek Dunia UCI 2026 di Shanghai, China, Oktober ini.

Katanya, PKBM turut berbincang dengan MSN mengenai laluan kelayakan serta kejohanan yang perlu disertai sepanjang tempoh memburu tiket ke LA28.

Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran 'The Pocket Rocketman' turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus memberikan sokongan kepadanya, termasuk menerusi mesej dan komen di media sosial.

“Tidak semua orang memahami perasaan ini. Sekiranya tidak melaluinya, kamu tidak akan memahaminya. Hanya atlet sebenar, hanya yang betul-betul berkorban untuk negara sahaja yang faham bagaimana perasaannya.

“Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia. Saya tidak pernah minta seorang pun untuk menyokong atau membantu saya, tetapi saya sangat-sangat berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tampil menyokong saya,” katanya.

Pemegang gelaran juara dunia keirin 2017 itu kini menghidupkan kembali impian untuk mencipta sejarah dengan memburu penampilan keenam di pentas Olimpik selepas meraih perak di Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016.

“Seperti biasa, saya akan buat yang terbaik untuk negara yang tercinta dan kepada anda semua,” katanya.