Lelaki berbaju putih diburu polis kes pecah rumah

Iklan
Polis buru lelaki berbaju putih selepas dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah. Gambar hiasan

SUNGAI BULOH - Seorang individu berbaju putih diburu polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah di Bandar Puncak Alam di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 29 Ogos.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3.25 petang ketika penghuni rumah berkenaan tiada di kediaman.

"Pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat kesan umpil pada pintu belakang rumah.

Iklan

"Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran pula mengesan kelibat seorang lelaki berbaju putih yang belum dikenal pasti identitinya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kejadian itu mengakibatkan penghuni rumah mengalami kerugian membabitkan barangan kemas dan wang tunai.

Iklan

"Identiti suspek masih belum dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Hafiz berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Mohammed Haniff Abd Kadir di talian 012-9490058 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-6156 1222.