SETIAP kali mahasiswa baharu melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, mereka membawa bersama impian, cita-cita dan harapan untuk membina masa hadapan yang lebih baik.
Bagi keluarga pula, kemasukan seorang anak ke universiti dianggap sebagai satu kejayaan yang membanggakan setelah melalui perjalanan panjang membesarkan dan menyediakan mereka untuk melangkah ke satu lagi fasa kehidupan yang baharu.
Namun pengalaman berada di universiti tidak semestinya sama bagi setiap individu. Setiap mahasiswa hadir dengan latar keluarga, pengalaman hidup, kemampuan dan cabaran yang berbeza.
Ada yang mempunyai sistem sokongan yang kukuh manakala sebahagian yang lain perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu di kampus sambil mengurus kekangan kewangan dan pelbagai keperluan harian.
Di sinilah peranan universiti menjadi lebih daripada sekadar menyediakan pendidikan. Sebuah universiti yang inklusif ialah universiti yang memahami kepelbagaian latar belakang mahasiswanya dan berusaha memastikan perbezaan tersebut tidak menjadi penghalang kepada peluang untuk berjaya.
Bagi Universiti Malaysia Sabah (UMS), prinsip ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab institusi.
Pendidikan tinggi bukan hanya terhad terhadap penyampaian ilmu, tetapi juga penyediaan persekitaran yang membolehkan mahasiswa belajar, berkembang dan membina masa depandengan sebaik-baiknya.
UMS untuk semua
UMS menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai latarbelakang, daerah dan pengalaman kehidupan. Kepelbagaianini merupakan salah satu kekuatan universiti.
UMS menerima mahasiswa daripada seluruh negeri, termasuk kawasan bandar, luar bandar, pedalaman, pesisir pantai mahupun pulau.
Ada yang datang dari Pitas, Kudat, Kota Marudu, Ranau, Keningau, Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan Semporna, selain pelbagai daerah lain.
Dalam pada itu, sebahagian mahasiswa UMS juga datang dari negeri-negeri lain di Malaysia termasuk luar negara.
Kepelbagaian ini sebenarnya menjadikan UMS sebagai tempat pertemuan bagi anak-anak yang datang dari pelbagai latar belakang dan pengalaman.
Untuk itu, prinsip yang menjadi pegangan universiti ialah setiap mahasiswa berhak diberikan peluang yang saksama untuk belajar dan berkembang.
Dalam hal ini, inklusiviti bukan hanya bermaksud memberikan perkara yang sama kepada semua orang.
Namun ia bermaksud memahami keperluan yang berbeza dan menyediakan sokongan yang bersesuaian agar setiap mahasiswa mempunyai peluang untuk menggilap potensi mereka.
Kebajikan sebahagian daripada pengalaman pendidikan
Dalam usaha memastikan mahasiswa dapat melalui kehidupan universiti dengan lebih baik, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UMS memainkan peranan yang amat penting sebagai jaringan sokongan utama mahasiswa.
Pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif kebajikan disediakan untuk membantu mahasiswa yang berdepan dengan pelbagai keperluan dan cabaran tertentu.
Ini termasuklah sokongan berkait dengan bantuan kewangan, makanan, penginapan, kebajikan kolej kediaman, bantuan kecemasan serta keperluan-keperluan mahasiswa yang lain.
Antara inisiatif yang diberikan perhatian ialah Dapur Siswa Madani yang membantu memenuhi keperluan makanan mahasiswa yang memerlukan.
Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin menjadi pertimbangan kepada keluarga, penyediaan sokongan makanan bukan sekadar soal memenuhi keperluan asas, namun turut membantu mengurangkan sebahagian daripada beban perbelanjaan harian mahasiswa.
Bagi mahasiswa yang perlu mengurus sumber kewangan secara berhati-hati, bantuan seperti ini boleh memberikan ruang untuk mereka memberi tumpuan kepada pengajian dan kehidupan akademik.
Namun, kebajikan mahasiswa tidak hanya terhenti pada makanan semata. Ia turut mencakupi usaha memastikan mahasiswa mempunyai tempat tinggal yang sesuai, akses kepada keperluan pembelajaran, sokongan ketika berdepan kecemasan serta saluran yang jelas untuk mendapatkan bantuan apabila diperlukan. Pendekatan menyeluruh inilah yang terus diperkukuh oleh universiti.
Mengenali keperluan, menyantuni kebajikan
Suatu hakikat yang perlu difahami adalah, tidak semua mahasiswa yang berdepan dengan cabaran akan tampil untuk mendapatkan bantuan.
Sebahagian mungkin memilih untuk menyimpan kesulitan yang dihadapi, sama ada kerana berasa segan, tidak mahu membebankan keluarga atau beranggapan bahawa mereka perlu menghadapinya sendiri.
Dalam sesetengah keadaan, mahasiswa mungkin hanya akan mendapatkan bantuan apabila keadaan sudah menjadi terlalu sukar untuk ditangani.
Dengan itu, kebajikan bukan hanya menjadi tanggungjawab satu jabatan atau pihak tertentu.
Pensyarah, penasihat akademik, pengurusan kolej kediaman, pemimpin mahasiswa dan rakan sebaya merupakan sebahagian daripada jaringan yang boleh membantu mengenal pasti perubahan keadaan yang mungkin menandakan seseorang mahasiswa memerlukan perhatian dan sokongan.
Kepekaan terhadap perkara yang mungkin kelihatan kecil pada peringkat awal, seperti perubahan kehadiran ke kuliah, kemerosotan prestasi akademik, pengasingan diri atau kesukaran memenuhi keperluan harian sebenarnya boleh menjadi isyarat awal kepada intervensi yang lebih berkesan.
Justeru, UMS terus komited memperkukuh mekanisme sokongan yang membolehkan mahasiswa mendapat bantuan dengan mudah, cepat dan tanpa rasa rendah diri.
Pada masa yang sama, saluran bantuan perlu diketahui dengan jelas dan mudah dicapai oleh mereka yang memerlukannya.
Pendekatan sedemikian bukan sahaja membantu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi, tetapi juga dapat mencegah sesuatu kesukaran daripada berkembang sehingga menjejaskan pengajian mahasiswa.
Sokongan yang 'Membina Keupayaan Kebajikan' mahasiswa tidak seharusnya terhenti apabila bantuan diberikan.
Matlamat akhir adalah untuk memastikan mahasiswa mempunyai keupayaan untuk membina masa depan sendiri.
Justeru, bantuan kebajikan perlu bergerak seiring dengan program pembangunan mahasiswa.
Peluang untuk membina kemahiran, kepimpinan, keusahawanan, kesukarelawanan, pengalaman industri dan persediaan kerjaya harus diperluas dan diperkembang.
Dalam konteks ini, UMS menyediakan pengalaman pendidikan yang tidak hanya berlaku di dalam bilik kuliah.
Mahasiswa diberikan ruang untuk meneroka, berinteraksi, mengembangkan bakat dan memahami dunia di luar daripada lingkungan akademik.
Antara keistimewaan UMS ialah kedudukannya yang menawarkan persekitaran pembelajaran yang unik dan menarik, termasuk Pantai Kemudi Ilmu yang berada di dalam kampus.
Pantai ini bukan sekadar sebahagian daripada landskap kampus yang indah, tetapi berpotensi menjadi ruang pembelajaran, interaksi dan penghayatan terhadap alam sekitar.
Inilah antara keistimewaan pengalaman sebagai mahasiswa UMS. Mahasiswa yang dibantu adalah graduan yang bakal menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan.
Mereka mungkin bakal menjadi guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman, doktor yang memberi khidmat kepada masyarakat, jurutera yang menyumbang kepada pembangunan infrastruktur, penyelidik yang menghasilkan pengetahuan baharu mahupun usahawan yang membuka peluang pekerjaan.
Oleh itu, setiap bentuk sokongan kepada mahasiswa sebenarnya mempunyai kesan yang jauh lebih besar daripada apa yang dapat dilihat pada hari ini.
Melabur untuk masa depan negara
Kebajikan mahasiswa tidak seharusnya dilihat sebagai isu yang terhad kepada lingkungan universiti semata-mata. Ia mempunyai kaitan yang lebih luas dengan pembangunan modal insan, mobiliti sosial dan masa depan negara.
Setiap mahasiswa yang berjaya menamatkan pengajian bukan sahaja memperoleh kelayakan akademik, tetapi turut membawa bersama ilmu, kemahiran dan keupayaan yang berpotensi memberi manfaat kepada keluarga serta masyarakat.
Bagi mahasiswa yang datang daripada keluarga petani, nelayan, pekebun kecil, pekerja ladang atau keluarga berpendapatan sederhana, pendidikan tinggi berupaya menjadi satu laluan penting untuk meningkatkan taraf kehidupan.
Kejayaan seorang anak memperoleh pendidikan dan membina kerjaya tidak sahaja mengubah masa depan dirinya sendiri, malah berpotensi memperbaiki kedudukan ekonomi keluarga serta membuka peluang yang lebih baik kepada generasi seterusnya.
Dalam konteks negeri Sabah yang mempunyai jurang pembangunan dan realiti sosioekonomi yang berbeza antara kawasan, usaha memastikan anak-anak muda daripada pelbagai latar belakang dapat kekal dalam sistem pendidikan tinggi mempunyai nilai yang amat besar.
Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan modal insan yang akan mengisi keperluan tenaga profesional, kepakaran dan kepimpinan negeri pada masa depan.
Apabila seorang mahasiswa berjaya menamatkan pengajian, sebuah keluarga mendapat harapan baharu.
Apabila lebih ramai anak Sabah berjaya memperoleh pendidikan tinggi, negeri ini pula memperoleh lebih banyak modal insan yang berilmu, berkemahiran dan bersedia untuk menyumbang. Perkara ini terbukti setelah lebih 30 tahun universiti ini ditubuhkan.
Justeru, menjaga kebajikan mahasiswa bukan sekadar memenuhi keperluan hari ini. Ia merupakan satu pelaburan jangka panjang dalam membina masyarakat yang lebih berdaya tahan, memperluas peluang mobiliti sosial serta memperkukuh masa depan negara.
Kepada para pelajar baharu yang bakal melangkah ke Universiti Malaysia Sabah, selamat datang ke keluarga besar UMS.
Mulakan perjalanan ini dengan keyakinan dan semangat untuk belajar serta berkembang.
Jika berdepan sebarang kesulitan, jangan dipendam dan jangan berasa bersendirian. Maklumkan kepada pihak universiti supaya kita dapat bersama-sama mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
* Profesor Datuk Dr Kasim Mansor ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah.