'Biar darah, keringat dan jiwa menjadi taruhan, Malaysia tetap kami pertahankan’

Iklan
Muhamad Norazlan mengetuai lintas hormat dan pertunjukan udara dengan berada sendiri di kokpit pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM.

PUTRAJAYA - Ucapan secara langsung Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dari kokpit pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM menjadi antara detik paling mencuri tumpuan pada perbarisan Hari Kebangsaan ke-69 di sini pada Isnin.

Dengan deruman pesawat pejuang memenuhi ruang udara Putrajaya, beliau menyampaikan ikrar seluruh perwira udara untuk terus mempertahankan kedaulatan negara ketika mengetuai lintas hormat dan pertunjukan udara sempena sambutan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Ampun Tuanku dan salam sejahtera rakyat Malaysia. Saya, Panglima Tentera Udara, serta seluruh perwira-perwira udara, berdiri teguh di angkasa demi mempertahankan kedaulatan tanah air.

"Biar darah, keringat dan jiwa menjadi taruhan; Malaysia tetap kami pertahankan.

Iklan

"Selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-69, Malaysia Madani, kesejahteraan dinikmati. Duty, honour, sacrifice. Ampun, Tuanku," katanya.

Ucapan berkenaan disampaikan Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan sendiri ketika berada di kokpit Sukhoi SU-30MKM, mengetuai pertunjukan udara TUDM buat tahun kedua berturut-turut.

Iklan

Pertunjukan udara selama kira-kira 10 minit itu bermula jam 9.30 pagi dengan deruman empat Sukhoi SU-30MKM, empat F/A-18D Hornet dan tiga BAE Hawk 208 yang membentuk beberapa formasi termasuk Kite Formation, Diamond Formation, Delta Formation dan Victory Combine.

Kemunculan pesawat pejuang berkenaan bukan sahaja memeriahkan sambutan, malah mempamerkan keupayaan serta tahap kesiapsiagaan aset udara negara.

Deruman pesawat tempur kemudian disusuli kemunculan pesawat pengangkut C130H Hercules, A400M Atlas dan CN235 yang memperlihatkan keupayaan TUDM dalam melaksanakan peranan pengangkutan serta sokongan logistik.

Turut menarik perhatian ialah kemunculan aset helikopter termasuk EC725 dan AW139 milik TUDM yang terbang dalam formasi bersama aset Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia.

Sepanjang kerjayanya, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan pernah menerbangkan pelbagai jenis pesawat pejuang termasuk Aermacchi MB339A, A4PTM Skyhawk, Mikoyan Guverich MIG29N/UB dan Sukhoi SU-30MKM.

Penglibatan beliau secara langsung dalam pertunjukan udara itu memberikan makna tersendiri kepada sambutan Hari Kebangsaan ke-69, apabila amanat mempertahankan negara disampaikan sendiri dari angkasa raya.