PELUMBA sensasi negara, Datuk Azizulhasni Awang mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meneruskan misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memaklumkan telah menerima pengesahan daripada MSN bahawa jaguh berbasikal trek negara itu akan menjadi antara pelumba yang menggalas tugas mengumpul mata kelayakan Olimpik menerusi acara keirin dan pecut.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari turut mengarahkan MSN memastikan kesinambungan proses kelayakan atlet berbasikal trek negara ke LA28, sekali gus memberi laluan lebih jelas buat Azizulhasni meneruskan perjuangannya.
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, keputusan itu memberi kelegaan kepada Azizulhasni untuk memberi fokus terhadap kempen kelayakan yang bermula dengan Kejohanan Trek Dunia UCI 2026 di Shanghai, China, Oktober ini.
Katanya, PKBM sudah membuat persiapan awal termasuk mengadakan perbincangan bersama MSN bagi memahami laluan kelayakan serta kejohanan yang perlu disertai bagi mengumpul mata ranking Olimpik.
"Proses kelayakan LA28 memerlukan perancangan rapi sejak awal, termasuk pemahaman jelas mengenai laluan pertandingan dan bentuk sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh kelayakan," katanya menerusi satu kenyataan.
Amarjit berkata, keputusan kerajaan dan MSN itu amat penting bukan sahaja buat Azizulhasni, malah untuk masa depan sukan berbasikal trek negara dalam menghadapi cabaran LA28.
Menurutnya, sokongan diberikan berdasarkan prestasi semasa, pencapaian cemerlang serta pengalaman luas Azizulhasni yang mampu menjadi aset penting dalam membimbing pelumba muda negara.
"Azizulhasni sudah memberikan begitu banyak kepada sukan Malaysia dan beliau masih mampu bersaing di peringkat tertinggi. Pengalaman, komitmen serta mentaliti juara yang dimilikinya kekal sebagai aset besar kepada program berbasikal trek negara," katanya.
Azizulhasni, 38, yang dikenali dengan jolokan The Pocket Rocketman, merupakan antara atlet paling berjaya dalam sejarah sukan negara. Beliau meraih pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa Olimpik Rio 2016 dalam acara keirin, selain muncul juara dunia keirin pada 2017.
Pada penampilan terakhirnya di Olimpik Paris 2024, Azizulhasni terpaksa berdepan episod mengecewakan apabila dibatalkan penyertaan dalam final keirin selepas insiden melanggar peraturan perlumbaan. Bagaimanapun, beliau terus menunjukkan komitmen untuk meneruskan cabaran dan memburu penampilan kelima di pentas Olimpik.
Amarjit menegaskan, fokus selepas ini adalah memastikan semua pihak termasuk PKBM, KBS, MSN, jurulatih dan pasukan sokongan bergerak seiring bagi menyediakan persiapan terbaik menuju LA28.
"Laluan ke Los Angeles bukan mudah, tetapi dengan laluan yang kini lebih jelas, kita mahu memastikan Azizulhasni dan pelumba trek negara mendapat peluang terbaik untuk melayakkan diri serta membawa cabaran Malaysia," katanya.