[VIDEO] Semangat merdeka satukan rakyat pelbagai kaum

Iklan

PUTRAJAYA - Demi merasai sendiri kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, ada yang sanggup bangun seawal jam 3 pagi dan menempuh perjalanan jauh bersama keluarga.

Ridzuan (kanan) bersama isteri, Hatiza Ramli dan anak, Hfiy rafif, 11.

Iklan
Iklan

Tidak kira Melayu, Cina mahupun India, semangat untuk menyambut Hari Kebangsaan Malaysia (HKM) ke-69 jelas menyatukan rakyat yang hadir dengan satu harapan sama iaitu melihat Malaysia terus aman, makmur dan bersatu padu.

Bagi veteran tentera, Ridzuan Rusman, 39, sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya kali ini merupakan kali kelima selepas sebelum ini turut meraikannya di Dataran Merdeka.

Iklan

"Ini kali kelima saya sambut Hari Kebangsaan di Putrajaya. Memandangkan saya hanya tinggal di Cyberjaya, jadi keluarga jadikan sambutan hari bersekarah ini sebagai rutin tahunan.

"Sebagai seorang veteran tentera, semangat kemerdekaan memang sentiasa berkobar-kobar dalam diri saya. Sambutan seperti ini mengingatkan kita tentang pengorbanan yang dilakukan untuk negara," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Kam Hoong (dua dari kiri) bersama ahli keluarga menyambut HKM 2026 di Dataran Putrajaya.

Sementara itu, Liew Kam Hoong, 40, sanggup membawa anaknya yang masih kecil, berusia antara empat hingga enam tahun, dari Klang bagi merasai sendiri pengalaman menyambut Hari Kebangsaan.

Pekerja swasta itu menjelaskan, pengalaman tersebut penting supaya anak-anak dapat mengenali dan menghayati sambutan kemerdekaan sejak usia muda.

"Saya bawa anak-anak yang masih kecil, memakakkan mereka dengan pakaian tradisi orang Cina iaitu cheongsam, untuk merasai sendiri sambutan kemerdekaan.

“Saya mahu mereka melihat bagaimana rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum berkumpul dan meraikan hari yang penting untuk negara ini," katanya.

Virindhashri (dua dari kiri) bersama ahli keluarga menyambut HKM 2026 di Dataran Putrajaya.

Bagi S Virindhashri, 25, sambutan Hari Kebangsaan pula menjadi kesempatan untuk menyampaikan harapan agar Malaysia terus menjadi sebuah negara yang aman dan makmur untuk semua rakyat.

"Harapan saya kepada Malaysia ialah semoga negara kita yang berbilang bangsa terus hidup dalam keadaan makmur, aman dan harmoni.

"Kita semua mungkin berbeza dari segi bangsa dan budaya, tetapi kita tetap berkongsi negara yang sama dan perlu bersama-sama menjaga keharmonian ini," katanya.

HKM 2026 bertemakan 'Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati' berlangsung di Dataran Putrajaya dengan penyertaan 10,819 peserta perbarisan melibatkan 76 kontinjen dan 22 pasukan pancaragam.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah mencar duli berangkat menyaksikan sambutan yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Jemaah Menteri.