PUTRAJAYA – Sembilan wira cilik menjadi antara tarikan utama penyertaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya pada Isnin.
Tampil segak mengenakan uniform Maritim Malaysia, sembilan kanak-kanak itu mewakili pelbagai peranan dalam agensi berkenaan termasuk anggota berpakaian tindakan atau Loreng Digital, Pasukan Tindakan Khas (STAR Team), perenang penyelamat dan penerbang.
Kehadiran mereka bukan sahaja mencuri perhatian orang ramai, malah membawa simbolik kesinambungan semangat patriotisme serta kecintaan terhadap negara yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
Penyertaan tersebut turut membuka peluang kepada masyarakat, khususnya golongan muda, untuk mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian kerjaya dan peranan yang ditawarkan oleh Maritim Malaysia.
Selain itu, antara aset yang menjadi tumpuan ialah Kenderaan Pengkalan Hadapan (PHC) CARILAMAT, yang berfungsi sebagai pusat operasi bergerak bagi membantu Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) menyelaras operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di lapangan.
Kenderaan Maritime Emergency Response and Coordination (MERAC) atau PHC itu diperoleh menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), dan akan diserahkan secara berperingkat sepanjang tahun ini dengan jumlah keseluruhan tujuh unit.
Ketika operasi CARILAMAT dijalankan, MERAC akan ditempatkan berhampiran lokasi kejadian sebagai Pusat Operasi Hadapan (Forward Operation Base).
Selain menjadi pusat penyelarasan komunikasi antara agensi, aset tersebut turut digunakan bagi tujuan pengumpulan, analisis dan penyebaran maklumat operasi.
MERAC juga berfungsi sebagai pusat taklimat operasi kepada agensi penyelamat, membantu menyelaras aset Search and Rescue Unit (SRU) laut dan udara serta menjadi pusat pengurusan logistik sepanjang misi dijalankan.
Penyertaan Maritim Malaysia pada sambutan kali ini melibatkan seramai 386 pegawai dan anggota, terdiri daripada 310 anggota kontinjen perbarisan, 37 pelaku aset dan 39 anggota Pancaragam Maritim Malaysia.
Kekuatan itu dipamerkan menerusi penglibatan 10 aset operasi, termasuk sebuah Bot Kelas Ibrahim, sebuah Bot Perkasa, sebuah Bot Benteng, sebuah Airboat, dua unit Mobile Surveillance Unit (MSU), dua unit PHC CARILAMAT dan dua buah jet ski.
Penampilan berkenaan menyerlahkan tahap profesionalisme, kesiapsiagaan dan keupayaan warga Maritim Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan, keamanan serta kedaulatan perairan negara.
Maritim Malaysia dalam kenyataannya berkata, penyertaan tersebut membawa mesej bahawa kekuatan penguatkuasaan maritim negara bukan hanya bergantung kepada jumlah aset semata-mata, sebaliknya turut merangkumi keupayaan, mobiliti dan kesiapsiagaan untuk digerakkan pada bila-bila masa mengikut keperluan operasi.
Turut hadir menyaksikan penyertaan Maritim Malaysia ialah Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah serta pegawai kanan agensi berkenaan.