Selamat Hari Kebangsaan dan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia yang saya kasihi.
Sejak lima tahun yang lalu, saya berkongsi pandangan dan renungan setibanya Hari Kebangsaan.
Saban tahun, saya menyentuh mengenai pelbagai cabaran yang dihadapi oleh negara tercinta kita, merangkumi ekonomi dan pendidikan, reformasi politik, perubahan iklim, kecerdasan buatan, serta dunia yang rancak berubah di sekeliling kita.
Semua cabaran ini kekal relevan dan penting. Namun pada tahun ini, saya ingin berbicara tentang sesuatu yang lebih mendasar, iaitu siapakah kita sebagai sebuah bangsa.
Saya sering bertanya kepada diri sendiri satu soalan yang mudah, apakah persamaan sesama warga Malaysia?
Sebelum kita dikenali sebagai Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli atau Eurasia dan sebelum perbezaan parti politik atau pandangan yang berbeza — siapakah kita?
Kita semua ialah anak Malaysia. Ramai antara kita kemudiannya menjadi suami dan isteri.
Ramai juga yang menjadi ibu dan bapa. Kita bergembira apabila anak kita mencapai kejayaan.
Kita tidak lena tidur apabila mereka menghadapi kesukaran. Kita bimbang apabila ibu bapa kita semakin tua.
Kita berduka apabila insan yang disayangi meninggalkan kita. Kita berharap agar generasi akan datang dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.
Apabila kita mengetepikan segala perbezaan, kita akan menemui pencerahan yang indah. Sebenarnya, persamaan antara kita jauh lebih besar daripada perbezaan kita.
Saya membesar di sebuah pekan kecil bernama Pusing, di Perak. Sahabat-sahabat sepermainan saya berketurunan Melayu, Cina dan India.
Kami bersukan, berenang bersama di bekas lombong dan sungai. Kami juga sering berkunjung dan bermalam di rumah satu sama lain.
Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir pun untuk mempertimbangkan faktor bangsa sebelum menganggap seseorang sebagai sahabat.
Kanak-kanak mempunyai satu keistimewaan yang luar biasa. Mereka melihat manusia sebelum melihat taraf.
Mungkin sepanjang perjalanan menuju alam dewasa, kita makin kehilangan kewajaran itu.
Setiap anak yang lahir ke dunia ini adalah anugerah kepada umat manusia.
Tiada seorang pun daripada kita yang mempunyai hak istimewa untuk memilih warna kulit mahupun asal-usul kita.
Begitu juga dengan soal kepercayaan, yang sememangnya merupakan perkara yang sangat peribadi.
Lebih-lebih lagi, tiada seorang pun yang memilih bahasa ibunda atau institusi keluarga kita di dunia ini. Setiap seorang daripada kita mempunyai pilihan, setiap hari, untuk menjadi rakyat Malaysia sebagaimana yang diingini. Pilihan itu sentiasa berada di tangan kita dan ia akan sentiasa menjadi milik kita.
Apa jua agama dan kepercayaan kita, semuanya menekankan satu kebenaran dan hikmah yang sama, bahawa setiap insan mempunyai maruah diri.
Apa jua agama yang kita anuti, semestinya tiada satu pun yang menyaran kita untuk menghina atau membenci manusia lain disebabkan faktor bangsa atau agamanya.
Hidup secara bermaruah dan semangat kekitaan
Di Sunway, saya berusaha memastikan kita tidak membezakan warna kulit, pasport dan agama.
Sebagai negara yang berbagai budaya dan anutan, kepelbagaian kita semestinya ialah satu kelebihan yang wajar dihargai.
Kita mesti mengukuhkan tekad untuk membina negara di mana semua anggotanya berupaya hidup secara bermaruah dan bersemangat kekitaan.
Kebencian boleh dipelajari, begitu juga dengan rasa hormat dan perpecahan boleh disemai.
Begitu juga dengan perpaduan. Jadi, persoalan yang kita depani bukanlah sama ada Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang lebih bersatu.
Persoalannya adalah sama ada setiap seorang daripada kita bersedia untuk menjadi rakyat Malaysia yang lebih murah hati.
Sesebuah negara tidak menjadi lebih maju dengan sendirinya. Rakyatnyalah yang menjadikan sesebuah negara lebih masyhur.
Lipatan sejarah membuktikan bahawa ada segelintir manusia yang menyatukan masyarakat dan ada antara mereka yang memecahbelahkannya.
Perpecahan itu mudah. Tidak banyak usaha yang diperlukan untuk menyemai rasa takut antara satu kelompok dengan yang lain.
Sebaliknya, membina kepercayaan memerlukan keberanian yang jitu. Sering kali, usaha memperjuangkan perkara yang benar dan saksama menuntut pengorbanan yang besar.
Namun, kita mesti terus teguh mempertahankan prinsip dan keyakinan yang menyatupadukan kita sebagai satu negara.
Setiap generasi akhirnya akan dikenang berdasarkan jambatan yang dibina atau tembok yang ditinggalkan. Generasi kita juga tidak terkecuali.
Ada kalanya saya tertanya, betapa majunya Malaysia sekiranya tenaga yang kita habiskan untuk bertelagah dan berdebat tentang perbezaan kita, sebaliknya dicurahkan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama.
Pada skala global pula, bayangkan jika Amerika Syarikat dan China memilih untuk bekerjasama sebagai saudara, bukannya bersaing sebagai seteru. Sudah tentu dunia akan menjadi tempat yang jauh lebih baik untuk umat manusia.
Yayasan Jeffrey Cheah bantu pelajar miskin akses pendidikan
Ketika saya masih kecil, kemiskinan tegar banyak membentuk kehidupan saya.
Ia mengajar saya bahawa pendidikan adalah jalan keluar daripada kesusahan dan kemelaratan, menuju sebuah kehidupan yang bermaruah. Pegangan itu tidak pernah saya lepaskan sehingga hari ini.
Kejayaan saya dalam kerjaya perniagaan telah memberikan saya peluang untuk menubuhkan Yayasan Jeffrey Cheah, dengan hasrat untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti kepada seramai mungkin anak muda Malaysia, tanpa mengira bangsa dan latar belakang.
Matlamat tersebut mendorong saya memindahkan keseluruhan pegangan ekuiti saya dalam Kumpulan Pendidikan Sunway (merangkumi Sunway International Schools, Sunway Colleges dan Sunway University) kepada Yayasan Jeffrey Cheah, di bawah struktur bukan berasaskan keuntungan.
Yayasan ini bukan lagi milikan saya mahupun keluarga saya. Ia kini dimiliki Malaysia, demi manfaat rakyat Malaysia hari ini dan generasi yang akan datang.
Lebih RM4 bilion telah disumbangkan dan diperuntukkan buat selama-lamanya melalui yayasan ini. Setakat kini, lebih RM1.05 bilion telah dianugerahkan dalam bentuk biasiswa serta geran.
Setiap biasiswa yang diberikan bukan sekadar bermakna seorang lagi anak Malaysia mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian ke kolej atau universiti.
Ia bermakna sebuah keluarga berpeluang meninggalkan kitaran kemiskinan dan kesusahan.
Sebuah impian kembali menjadi kenyataan dan masa hadapan ditulis semula. Bagi saya, inilah pembangunan negara bangsa.
Namun, usaha pihak kerajaan sahaja tidak memadai. Perniagaan, sekolah, organisasi keagamaan dan ibu bapa juga tidak mampu mencapai usaha bersama ini secara sendirian.
Setiap rakyat mempunyai peranan, Malaysia yang lebih baik bukan sesuatu yang kita warisi. Ia sesuatu yang kita bina bersama.
Dunia tidak akan menunggu kita. Kecerdasan buatan sedang mengubah cara kita hidup, belajar dan bekerja.
Perubahan iklim sedang membentuk semula masa hadapan kita. Negara-negara jiran kita pula sedang rancak melabur dalam pembangunan inovasi, pendidikan dan modal insan.
Ketika dunia sedang meluncur ke hadapan, Malaysia tidak mampu membiarkan diri ketinggalan dan terus dibelenggu oleh ketakutan, prasangka serta perpecahan yang tidak terhingga.
Anak-anak kita berhak mewarisi sesuatu yang lebih baik, mewarisi sebuah negara yang cukup yakin untuk bersaing dengan seluruh dunia.
Jadikan Malaysia negara lebih baik
Sama ada Malaysia kekal berdaya saing di peringkat serantau mahupun global, pada akhirnya bergantung kepada sejauh mana persediaan generasi akan datang untuk menghadapi persaingan tersebut.
Tanggungjawab kita sebagai bapa, ibu dan datuk serta nenek adalah untuk mempersiapkan generasi akan datang untuk menghadapi persaingan yang begitu sengit, hebat dan berterusan.
Meskipun perjalanan dipenuhi cabaran, saya tetap menaruh harapan.
Setiap kali saya bertemu dengan belia Malaysia, saya terdorong menyaksikan sifat ingin tahu, kreativiti, keprihatinan dan keyakinan mereka.
Mungkin mereka akan berjaya dalam perkara di mana generasi terdahulu, termasuk generasi saya, kadangkala mengalami kekurangan.
Mungkin juga mereka akhirnya akan membina Malaysia yang selama ini kita impikan. Saya benar-benar percaya bahawa mereka mampu melakukannya.
Setiap seorang daripada kita akan meninggalkan dunia ini suatu hari nanti. Rata-rata mungkin tidak akan mengingati parti politik yang pernah kita sokong.
Mereka juga mungkin tidak akan mengingati segala pertengkaran dan perdebatan di media social.
Namun mereka akan mengingati sama ada kita meninggalkan Malaysia dalam keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya.
Lebih penyayang, adil, bersatu dan penuh harapan. Bagi saya, itulah erti patriotisme yang jitu.
Bukan sekadar rasa cinta terhadap negara kerana apa yang wujud pada hari ini, tetapi mencintainya sehingga kita sanggup membantu menjadikannya sebuah negara yang lebih baik kelak.
Inilah rumah kita dan warisan yang kita kongsi bersama. Inilah tanggungjawab dan masa hadapan kita bersama.
Ayuh kita membina jambatan yang cukup kukuh untuk menampung generasi akan datang, serta memupuk masa hadapan yang lebih stabil, lebih inklusif dan lebih mampan untuk seluruh negara.
Kerana Malaysia yang kita tinggalkan adalah Malaysia yang akan diwarisi oleh anak-anak kita.
Marilah kita berganding bahu membina sebuah negara yang sewajarnya mereka warisi.
Kita bersama dalam perjuangan ini. Semoga kita sentiasa dirahmati.
Selamat Hari Kebangsaan, Selamat Hari Malaysia!
Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah KBE AO
Warganegara Malaysia