WASHINGTON - Tentera Amerika Syarikat (AS) pada Ahad melancarkan serangan terhadap dua pelancar Iran di Pulau Larak, menurut jurucakap Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) Tim Hawkins, sekali gus menandakan serangan pertama AS yang diketahui terhadap Iran sejak akhir Julai, lapor Xinhua.
"Pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dikesan sedang bersiap sedia untuk melancarkan roket bersama periuk api laut ke Selat Hormuz,” kata Hawkins dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tentera AS"memantau kawasan itu dengan rapi dan kekal bersedia melindungi kelancaran perdagangan” melalui laluan perairan strategik berkenaan.
Pulau Larak ialah sebuah pulau kecil milik Iran yang terletak di luar pesisir Bandar Abbas, di timur Pulau Qeshm dan selatan Pulau Hormuz.
IRGC berkata, beberapa anggota tentera dan orang awam terbunuh atau cedera pada malam Ahad dalam serangan di Pulau Larak.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi saluran berita rasminya, Sepah News, IRGC berikrar bahawa serangan itu akan dibalas dengan"hukuman terhadap pihak penceroboh.” - Bernama