BEBERAPA hari menjelang 31 Ogos, Merak Jalanan melihat persiapan menyambut Hari Kebangsaan ke-69 semakin rancak.
Antara yang mencuri perhatian pastinya persembahan 'human graphic' membabitkan murid sekolah yang akan mewarnai sambutan penuh bersejarah itu.
Khabarnya, mereka sudah berlatih berbulan-bulan. Bukan sehari dua, malah sanggup berpanas dan mencurah keringat demi memastikan persembahan yang dipertontonkan nanti benar-benar meninggalkan kesan.
Namun, di sebalik kesungguhan anak-anak ini, Merak Jalanan terbaca satu persoalan di media sosial, berapa agaknya elaun diterima murid-murid berkenaan?
Ada yang memberikan pandangan dan jawapan positif, tidak kurang juga yang melihatnya dari sudut berbeza.
Merak Jalanan sempat bertanya kepada seorang ibu yang anaknya pernah menyertai program seumpama itu. Katanya, walaupun sudah beberapa tahun berlalu, anaknya masih mengingati pengalaman tersebut sebagai antara kenangan paling manis dalam hidupnya.
“Lagipun, sebelum menyertai program ini, ibu bapa diberikan surat kebenaran terlebih dahulu dan anak-anak turut menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Kalau ibu bapa tidak bersetuju, boleh sahaja menolak tawaran,” katanya kepada Merak Jalanan.
Jadi, apa isu sebenarnya? Biarlah anak-anak ini menikmati pengalaman yang mungkin hanya datang sekali dalam hidup mereka.
Berilah ruang mereka mencipta kenangan bersama negaranya. Jadi, ayuh kita sama-sama merdekakan fikiran.