'Bumbung dunia’ Himalaya ibarat bom jangka

Iklan
Jumlah tasik takungan glasier turut terus meningkat dengan 21 daripadanya terletak di Kathmandu, menjadikan kawasan digelar sebagai ‘bumbung dunia’ itu ibarat sebuah bom jangka yang kian berdetik. - Foto Imej AI

PADA ketinggian 8,848 meter (m), Gunung Everest berdiri sebagai puncak tertinggi. Namun, ketinggian itu tetap tidak dapat menghindarkannya daripada kesan perubahan iklim.

Glasier South Col yang terletak di altitud tertinggi di Everest kini semakin menyusut lebih daripada 54m sejak akhir 1990-an. Berdasarkan kajian terkini, glasier Himalaya mencair pada kadar semakin pantas.

Iklan
Iklan

Pencairan glasier di Hindu Kush Himalaya (HKH), sebuah wilayah yang merangkumi lapan negara semakin membimbangkan akibat peningkatan suhu global dan perubahan keadaan cuaca.

Corak hujan turut berubah dengan hujan semakin kerap berlaku di altitud tinggi manakala taburan salji semakin berkurangan.

Iklan

Antara tahun 2011 hingga 2020, kira-kira 56,000 glasier di HKH mencair pada kadar 65 peratus lebih pantas berbanding dekad sebelumnya.

Glasier-glasier ini dijangka kehilangan sehingga 80 peratus daripada jumlah isi padunya menjelang akhir abad ini. Antara yang paling terjejas ialah Glasier Yala di Lembah Langtang, Nepal yang merupakan antara lembaran ais paling banyak dikaji di negara tersebut.

Iklan

Yala juga merupakan satu-satunya glasier di banjaran Himalaya yang tersenarai dalam Senarai Glasier Dunia Terancam yang merekodkan glasier yang telah lenyap atau berada dalam keadaan kritikal. Glasier Yala dijangka lenyap 20 hingga 25 tahun akan datang.

Tanpa disedari, pencairan glasier bukan sekadar mengubah landskap Himalaya malah mencetuskan kesan berantai yang mengancam komuniti dan ekosistem baik di peringkat tempatan mahupun global.

Paling membimbangkan, pencairan glasier turut menyebabkan terbentuknya tasik takungan glasier yang dikelilingi empangan semula jadi daripada ais dan serpihan batuan moraine. Namun, empangan ini tidak kekal utuh.

Bencana Nepal-Tibet baru-baru ini, menjadi amaran jelas bahawa perubahan iklim semakin mengancam kawasan pergunungan tinggi. Di sebalik keindahan Himalaya, tersimpan ancaman yang tidak kelihatan, namun berpotensi membawa kemusnahan dahsyat.

Jumlah tasik takungan glasier turut terus meningkat dengan 21 daripadanya terletak di Kathmandu, menjadikan kawasan digelar sebagai ‘bumbung dunia’ itu ibarat sebuah bom jangka yang kian berdetik.