KATHMANDU - Ketika banjir deras menenggelamkan kebanyakan rumah dan menghanyutkan bangunan di sekelilingnya, sebuah rumah hijau kekal berdiri teguh di tengah-tengah arus lumpur yang mengganas.
Rakaman rumah berkenaan yang kekal utuh 'tidak berganjak' tular di media sosial selepas pengguna menyedari sebuah keluarga turut terperangkap ketika bencana dahsyat itu melanda Nepal pada Rabu lalu.
Ketahanan struktur rumah itu kemudiannya menjadi topik perbincangan hangat dalam talian.
Kebanyakan warganet melahirkan rasa tidak percaya melihat rumah tersebut mampu bertahan sedangkan bangunan di sekitarnya lenyap atau dihanyutkan arus yang kuat.
Kebimbangan mengenai nasib keluarga itu juga reda selepas seorang pengguna media sosial berkongsi video yang menunjukkan mereka terselamat daripada bencana tersebut.
Kedua-dua klip berkenaan meraih jutaan tontonan di media sosial.
“Syabas kepada mereka yang membina rumah itu,” tulis seorang pengguna di ruangan komen.
Seorang lagi warganet melahirkan rasa syukur kerana rumah berkenaan 'kebal' banjir luar biasa tersebut. - Agensi