Melaka FC bangkit catat kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC

Iklan
Cristian De Sauza Andre (tengah) diasak pemain-pemain Negeri Sembilan FC pada perlawanan Bola Sepak Liga Super Malaysia 2026/2027 di Stadium Hang Jebat, Krubong hari ini. - Foto: Bernama

MELAKA FC mencatat kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC di laman sendiri dalam aksi Liga Super musim ini di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini malam ini.

Gol kemenangan tuan rumah diperoleh menerusi pemain import Brazil, Christian de Souza Andre pada masa kecederaan babak kedua seterusnya mengesahkan tiga mata penuh dalam perlawanan yang disaksikan lebih 3,000 penyokong.

Iklan
Iklan

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-19 menerusi Yusuke Minagawa yang menyudahkan hantaran Mio Tsuneyasu.

Melaka FC bagaimanapun berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-33 menerusi tandukan Noel Agbre hasil sepakan sudut Do Donghyun.

Iklan

Bersambung babak kedua, pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanan Ahmad Khuzaimi Piee dilayangkan kad merah pada minit ke-53 selepas menerima kad kuning kedua akibat mengasari pemain Melaka FC.

Meskipun kekurangan seorang pemain, Negeri Sembilan FC tidak berputus asa dengan terus melancarkan beberapa serangan ke kubu Melaka FC dalam usaha mencari gol kedua.

Iklan

Namun, hasrat pelawat dikecewakan penjaga gol Melaka FC Khairul Fahmi Che Mat yang cemerlang menyelamatkan gawang daripada dibolosi buat kali kedua.

Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, Christian muncul wira Melaka FC apabila menyempurnakan hantaran Kpah Sherman pada masa kecederaan, sekali gus memastikan tiga mata menjadi milik pasukan tuan rumah. - Bernama