Dua beranak lemas ketika mandi pantai

Iklan
Mangsa lemas dibawa menaiki kenderaan bomba ke Klinik Kesihatan Bayu Damai

KOTA TINGGI – [DIKEMAS KINI] Dua beranak meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di kawasan pantai di Kampung Punggai, Pengerang, kira-kira jam 7.10 malam pada Ahad.

Mangsa dikenal pasti sebagai Mohammad Nizam Zainal, 33, dan anaknya, Muhammad Zamri Mikhail, 8.

Iklan
Iklan

Komander Operasi, Pegawai Bomba, Aldron Dey Judih @ Judeh berkata, seramai enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Kedua-dua mangsa telah dibawa ke darat oleh orang awam sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi.

Iklan

“PKO kemudiannya menjalankan bantuan pernafasan kecemasan terhadap kedua-dua mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dua beranak dilaporkan lemas ketika mandi di pantai Kampung Punggai, Pengerang pada Ahad.

Iklan

Menurut beliau, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Bayu Damai untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mereka disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di klinik berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Aldron berkata, empat individu yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita turut dilaporkan hampir lemas ketika mandi di pantai dalam kejadian dan lokasi berasingan.

Namun, kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam yang menyedari kejadian tersebut.

“Semua mangsa telah dibawa ke klinik kesihatan untuk menerima rawatan dan kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya.