Cadangan pindah LIMA perlu dihentikan, fokus selesaikan akses ke Langkawi

Iklan
Mohd Omar Mustapha

LANGKAWI – Cadangan untuk menganjurkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) di lokasi lain pada masa depan perlu dihentikan, sebaliknya kerajaan wajar memberi tumpuan kepada usaha menambah baik akses dan perhubungan ke pulau peranginan itu.

Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Mohd Omar Mustapha berkata, kerajaan Persekutuan perlu memberikan komitmen yang jelas bahawa pameran berprestij tersebut akan terus kekal di Langkawi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, selepas lebih tiga dekad penganjurannya, LIMA bukan lagi sekadar acara yang berlangsung di Langkawi, malah telah menjadi sebahagian daripada identiti pulau berkenaan.

"Nama pameran itu sendiri membawa nama Langkawi ke seluruh dunia dan LIMA juga menjadi sebahagian daripada kedudukan strategik serta ekonomi Langkawi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Wawasan Negara Langkawi berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai usaha kerajaan meneroka alternatif untuk menganjurkan LIMA di Melaka pada masa hadapan.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan tersebut memerlukan pelaburan besar bagi memastikan semua infrastruktur berkaitan dapat disediakan dengan sempurna sebelum pameran itu dapat dilaksanakan.

Iklan

Mohd Omar berkata, terdapat tiga sebab utama mengapa cadangan pemindahan LIMA tidak wajar diteruskan.

Menurutnya, faktor pertama ialah isu kesukaran orang ramai ke Langkawi berpunca daripada masalah akses dan perhubungan yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk diselesaikan.

"Jika perkhidmatan feri tidak menentu, ia perlu diperbaiki. Jika kapasiti penerbangan tidak mencukupi, maka ia perlu ditambah.

"Awal bulan ini saya telah mengemukakan cadangan supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melaksanakan kajian Koridor Perhubungan Laut Langkawi bagi tempoh 30 tahun.

"Itulah jawapan kepada masalah akses. Memindahkan LIMA kerana kelemahan infrastruktur bermakna kerajaan memilih untuk memindahkan kesan sesuatu masalah tanpa menyelesaikan puncanya," katanya.

Beliau berkata, faktor kedua ialah LIMA merupakan pameran perdagangan dan strategik antarabangsa, bukannya acara awam yang kejayaannya hanya diukur berdasarkan jumlah kehadiran pengunjung.

Katanya, nilai sebenar LIMA terletak pada pertemuan antara kerajaan, angkatan tentera, pemain industri aeroangkasa dan maritim, pelabur, pembuat dasar serta delegasi antarabangsa.

Tambah beliau, faktor ketiga ialah LIMA merupakan aset ekonomi strategik yang dibangunkan bersama Langkawi dan Malaysia sejak lebih 30 tahun lalu.

Menurutnya, penganjuran LIMA memberi manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada hotel, syarikat pengangkutan, perusahaan kecil, penyedia perkhidmatan, pekerja sektor pelancongan serta ribuan penduduk tempatan.

"Persoalan yang seharusnya ditanya kepada kerajaan ialah bagaimana nilai ekonomi LIMA dapat diperluaskan kepada lebih ramai penduduk Langkawi, bukannya bagaimana nilai itu boleh dipindahkan ke negeri lain," katanya.

Mohd Omar turut menyatakan bahawa Melaka berhak membangunkan acara maritim dan aeroangkasa bertaraf antarabangsa yang tersendiri, dan beliau mengalu-alukan usaha tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pembangunan Melaka tidak seharusnya dilakukan dengan mengorbankan kepentingan Langkawi.

"Jika terdapat kekurangan, baiki. Jika berlaku kesesakan, tambah kapasiti. Jika rakyat sukar datang, perbaiki perhubungan," katanya.