Bebaskan jiwa daripada sifat penting diri, penindasan demi kemerdekaan hakiki

Iklan
Amir Syakirin (kiri) bersama Pengerusi Rumah Ngaji Terengganu, Najib Ibrahim memegang plakad Malaysia #QuranHour di Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus pada Ahad.

KUALA NERUS - [KEMAS KINI] Masyarakat Islam di negara ini perlu membebaskan jiwa daripada sifat mementingkan diri sendiri dan penindasan sesama manusia bagi mencapai erti kemerdekaan yang hakiki.

​Timbalan Pengerusi Rumah Ngaji Terengganu, Muhammad Amir Syakirin Maznan berkata, kemerdekaan sebenar bukan sekadar diukur menerusi kesejahteraan ekonomi, sebaliknya merangkumi pembangunan sosial, sahsiah dan cara fikir serta akhlak masyarakat.

Iklan
Iklan

​Menurutnya, penganjuran Malaysia #QuranHour tahun ini mengangkat iktibar daripada Surah Al-Balad dan Surah Al-Muzzammil sebagai panduan menghadapi pelbagai cabaran serta kesukaran hidup masa kini.

​"Dalam Surah Al-Balad, ALLAH SWT menyebut berkenaan kabad iaitu cabaran atau perjuangan. Kesukaran itu sebenarnya syarat untuk mencapai kejayaan di akhirat, namun ia perlu dilalui dengan cara yang betul.

Iklan

​"Bagi membina kekuatan jiwa dalam mendepani cabaran ini, Surah Al-Muzzammil memberikan penawarnya melalui hubungan rapat dengan al-Quran, mendirikan solat malam, menjaga solat serta berinfak demi kepentingan bersama," katanya.

​Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Malaysia #QuranHour peringkat negeri di Masjid Wakaf Tembesu, Gong Badak di sini pada Ahad.

Iklan

Amir Syakirin (kiri) bersama Pegawai Agama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) merangkap pendakwah bebas, Ulwan Hamdan (tengah) yang juga selaku pentadabur, manakala alunan ayat suci al-Quran dipimpin oleh Pengasas Qari Muslim, Mohamad Muslim (kanan).

​Mengulas lanjut, Amir Syakirin yang juga selaku pentadabur menjelaskan, terdapat dua golongan manusia ketika berdepan ujian hidup iaitu golongan kiri (Mash'amah) yang mementingkan diri, melakukan zalim serta khianat, manakala golongan kanan (Maymanah) pula sentiasa menyantuni masyarakat.

​"Golongan Maymanah inilah yang diredhai ALLAH kerana mereka menyantuni golongan tertindas, memberi makan kepada yang memerlukan, menyokong anak yatim serta membantu fakir miskin," ujarnya.

​Program yang mendapat kerjasama Yayasan Pendidikan Maidam (YPM) dan sumbangan infak pelbagai pihak itu berjaya menghimpunkan kira-kira 500 peserta daripada gabungan pelbagai agensi.

Sebahagian peserta program Malaysia #QuranHour di Masjid Wakaf Tembesu di Kuala Nerus, Terengganu.

​Selain lokasi utama di Masjid Wakaf Tembesu, siri penganjuran program berkenaan turut diperluaskan ke daerah Dungun.

​Program berkonsepkan Munajat Merdeka di Dungun diadakan di De Rhu, berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sura berhampiran pantai, bermula jam 8 malam hingga 10 malam pada Ahad, selepas sesi pertama berlangsung pada Jumaat lalu.

​Orang ramai yang tidak dapat hadir secara fizikal turut dipelawa menyertai sesi tadabbur berkenaan secara dalam talian menerusi Facebook rasmi Terengganu Bertadabbur.