KUALA LUMPUR - Pemilihan tema dan surah dalam Malaysia #QuranHour yang berbeza setiap tahun menjadikan kempen untuk mengajak umat Islam membaca al-Quran itu mempunyai tarikan tersendiri.
Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Jamali Mohd Adnan berkata, pemilihan tema dan surah yang tepat menjadikan kempen sedemikian lebih dekat dengan umat Islam.
“Setiap tahun, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengadakanprogram ini dengan tema-tema yang cukup-cukup menarik. Jadi pada tahun ini Berdasarkan beberapa surah pilihan iaitu Surah al-Muzzammil, Surah al-Balad dan Surah al-Baqarah.
Sebelum itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenaan mencemar duli ke program tahunan anjuran WUIF yang memasuki edisi ke-12 tahun ini.
Ketibaan Seri Paduka Baginda pada 11.55 pagi itu diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub.
Mengulas lanjut, Jamali berkata, al-Quran menyediakan panduan lengkap untuk menjalani kehidupan sempurna sebagai umat Islam.
Katanya, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca dan tadabur semata-mata tetapi perlu menghayatinya dengan mengamalkan dalam kehidupan seharian.
“Apa sahaja kedudukan kita sama ada pemimpin di peringkat keluarga, masyarakat atau pun negara, isi kandungan al-Quran sangat memberikan suatu yang kita sebut sebagai membangunkan manusia, membangunkan insan.
“Dan akhirnya sudah pasti dengan penghayatan a-Quran kita boleh melahirkan pemimpin yang mempunyai sikap kompeten, integriti, amanah dan sebagainya,” katanya.
Justeru katanya, seluruh umat Islam digesa untuk kembali menghayati al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.