Malaysia #QuranHour 2026: 'Coopetition' perkasa sinergi positif industri media

Iklan
Ashwad (kiri) dan Nadirah

KUALA LUMPUR - Persaingan sebenar dalam dunia kewartawanan dan media bukan bertujuan menjejaskan pendapatan atau kelangsungan ekonomi antara agensi.

Sebaliknya, persaingan perlu diterjemahkan dalam konteks usaha menghasilkan kandungan berkualiti bagi membina dan mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap setiap institusi media di negara ini, yang mana masing-masing memiliki pendekatan serta gaya penulisan tersendiri.

Iklan
Iklan

Atas dasar itu, Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Ashwad Ismail berkata, pihaknya menekankan kolaborasi sebagai pendekatan terbaik untuk menyemarakkan lagi sinergi positif dalam kalangan pemain industri media tempatan.

Baginya, semua pihak perlu menyedari hakikat bahawa sekarang ini syarikat media sosial dan teknologi yang berasal dari negara luar mendominasi pasaran Malaysia.

Iklan

"Jadi, inilah momen terbaik untuk kita (media Malaysia) 'coopetition' iaitu bekerjasama dan bersaing secara serentak.

"Terutamanya dalam perihal kolaborasi di Malaysia #QuranHour 2026. Cuma kalau dalam landskap media secara umumnya, persaingan adalah tentang kualiti siapa lebih baik.

Iklan

"Jika soal pendapatan, media perlulah lebih kreatif dan dalam masa sama tidak memusuhi antara satu sama lain," katanya.

Bekas Ketua Pengarang Astro Awani itu berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di Malaysia #QuranHour 2026 bertempat di Masjid Al-Sultan Abdullah Presint Merdeka 118, di sini pada Ahad.

RTM merupakan penyiar rasmi bagi penganjuran program Malaysia #QuranHour 2026 yang bertemakan 'Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera'.

Mengulas lanjut, kata Ashwad, penglibatan RTM merupakan sebahagian daripada sumbangan pihaknya dalam usaha memastikan intipati program selama sejam itu disampaikan secara terus dan efektif kepada masyarakat.

"Ia komitmen RTM dalam mengajak umat Islam untuk sentiasa 'reset' dan transformasi diri ke arah yang lebih baik.

"Malaysia #QuranHour 2026 menyajikan momen yang sangat istimewa bukan sahaja buat RTM, malah seluruh warga media termasuk diri saya secara peribadi selaku media personnel," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Oasis, Nadirah Karim berpandangan, jalinan dan kebersamaan antara media bagi mengangkat Malaysia #QuranHour 2026 nyata memberikan dampak positif.

Pada hemat beliau, peranan media amat penting dalam memartabatkan program berunsurkan keagamaan kerana ia sedikit sebanyak menyumbang manfaat kepada masyarakat.

"Kalau edisi World #QuranHour, Astro Oasis menjadi penyiar rasmi, Malaysia #QuranHour pula RTM manakala Arafah #QuranHour dikendalikan oleh TV Alhijrah.

"Kebiasaannya rakan-rakan media akan 'pass the baton' dan berkongsi siaran. Antara sebab besar tidak lain tidak bukan mahu memartabatkan pentadabburan al-Quran.

"Saya sangat berbesar hati dan bangga menjadi sebahagian daripada rakan penyiar Malaysia #QuranHour 2026," kata Nadirah.