Malaysia #QuranHour wadah satukan rakyat melalui al-Quran

Iklan
Tirmizi (tiga dari kiri) bersama sebahagian qari, pentadabbur dan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr Nooh Gadot (tengah) pada program Malaysia #QuranHour di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR - Malaysia #QuranHour menjadi wadah penting untuk menyatukan masyarakat melalui al-Quran, khususnya ketika negara bakal menyambut Hari Kebangsaan.

Qari terkenal, Ustaz Tirmizi Ali berkata, program yang memasuki tahun ke-12 itu bukan sekadar mengajak masyarakat membaca dan menghayati al-Quran, malah menjadi ruang untuk rakyat mengetepikan seketika perbezaan demi kepentingan negara.

Iklan
Iklan

Tirmizi

Menurutnya, pendekatan berteraskan wahyu itu amat bertepatan dengan semangat mencintai negara serta usaha membina Malaysia yang lebih baik.

Iklan

"Kita kumpulkan masyarakat pada satu waktu dan tarikh yang penuh makna supaya seluruh rakyat dapat bersatu, sekali gus meninggalkan seketika perselisihan.

“Kita tahu perselisihan sampai bila-bila tidak akan berakhir, tetapi ada ketika kita perlu bersatu untuk negara kita dan untuk Malaysia yang lebih baik,” katanya ketika ditemui pada Malaysia #QuranHour 2026 di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118 di sini pada Ahad.

Iklan

Program turut disertai qari, Ustaz Shukri Ali dan Ustaz Khairul Asyraff, manakala selawat dilakukan tiga Imam Masjid Al-Sultan Abdullah, Ustaz Muhammad Shahmi Mohd Zamari, Ustaz Yusof Assidiqi Ahmad Sharkawi serta Ustaz Muhammad Shahir Amir Azmy.

Tirmizi (baju hijau) ketika mengalunkan ayat suci al-Quran pada Malaysia #QuranHour di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

Menurut Tirmizi, tema yang diketengahkan menerusi Malaysia #QuranHour 2026 turut mengajak masyarakat menghayati mesej daripada Surah al-Balad dan Surah al-Muzzammil sebagai panduan dalam membentuk kehidupan yang lebih baik.

"Alhamdulillah, Malaysia #QuranHour diadakan setiap tahun sempena sambutan Hari Kebangsaan dan ia sangat bertepatan dengan semangat mencintai negara serta mensyukuri nikmat keamanan yang kita kecapi melalui pendekatan berteraskan wahyu.

“Tema yang diangkat pada kali ini juga mengingatkan kita bahawa pada siang hari kita bekerja dan pada malam hari kita berhubung dengan ALLAH SWT, menjadikan hubungan dengan-Nya sebagai sumber kekuatan dalam kehidupan,” ujarnya.

Justeru, Tirmizi berkata, al-Quran perlu dijadikan acuan kehidupan kerana ajaran yang dibawa Nabi Muhammad SAW melalui wahyu itu bukan hanya relevan untuk masyarakat pada zaman terdahulu.

"Al-Quran bukan hanya untuk masyarakat pada zaman dahulu, sebaliknya merupakan kitab panduan sepanjang zaman.

“Sebab itu kita perlu kembali kepada al-Quran sebagai acuan kehidupan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW,” ujarnya lagi.

Tirmizi menambah, penganjuran Malaysia #QuranHour juga menjadi peluang untuk masyarakat menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW yang berjuang selama 23 tahun menyampaikan risalah al-Quran.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya terus menyokong Malaysia #QuranHour sebagai usaha memperkukuh hubungan masyarakat dengan al-Quran dan menjadikan wahyu sebagai panduan dalam kehidupan.