KUALA LUMPUR - Penambahbaikan dalam aspek pengisian menjadi antara tunjang utama Malaysia #QuranHour terus kekal mempunyai pengikut yang tersendiri, walaupun lebih sedekad penganjurannya.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, dalam satu jam berlangsungnya aktiviti itu ia berjaya memberi kefahaman yang jelas kepada umat Islam berdasarkan pemilihan surah al-Quran.
“Alhamdulillah, selepas 12 tahun penganjurannya saya lihat ia satu kejayaan kepada pasukan penyelidik WUIF yang begitu komited untuk meningkatkan pengisian setiap kali Malaysia #QuranHour dianjurkan.
“Malah, tadi ketika mengiring keberangkatan pulang Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, Seri Paduka Baginda amat memuji pengisian program ini.
“Jadi saya rasa ini satu kejayaan membanggakan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Malaysia #QuranHour di Masjid Al-Sultan Abdullah Presint Merdeka 118 di sini pada Ahad.
Sebelum itu, Raja Zarith Sofiah berkenaan mencemar duli ke program tahunan anjuran WUIF yang memasuki edisi ke-12 tahun ini.
Ketibaan Seri Paduka Baginda pada 11.55 pagi itu diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Hussamuddin.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional (PNB), Raja Tan Sri Arshad Tun Uda; Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (IC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail dan Kuasa Usaha, Kedutaan Republik Iraq, Dr Hudayfa Zead Mahmoud Salih.
Mengulas lanjut, Hussamuddin yang juga Penasihat Karangkraf berkata, peningkatan kehadiran golongan muda dalam acara itu juga turut membuktikan aktiviti keagamaan berkenaan mencetuskan fenomena tersendiri.
Katanya, kejayaan kempen bukan sahaja diukur dengan jumlah peserta yang terlibat tetapi bagaimana ia mampu memberi kesan keseluruhan kepada umat Islam.
“Saya gembira melihat pelapis yang terdiri golongan muda yang sertai program ini dna bagi saya ia satu kejayaan yang saya rasa kita patut gembira,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan umat Islam untuk terus menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam hidup.
Ujarnya, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca tetapi menghayati makna, mentadabur ayat-ayat dan menterjemahkan ajaran tetapi perlu ditunjukkan juga dengan akhlak dalam amalan seharian.
“Kita hendak umat Islam kembali kepada al-Quran. Pegang al-Quran sebagai panduan dengan niat hendak faham bukan sahaja baca.
“Jadi, kempen yang kita adakan ini amatlah bertepatan untuk kita memberi peringkatan supaya sentiasa meletakkan al-Quran sebagai keutamaan dalam kehidupan harian,” katanya.
Ends