Sejarah PH kalah dulu, menang besar kemudian - Adam Adli

Iklan
Adam Adli

MELAKA - Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak boleh dilihat sebagai pengakhiran perjuangan parti itu, kata Adam Adli Abdul Halim.

Sebaliknya, Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka itu berkata, perkara tersebut adalah pembakar semangat untuk bangkit mencatat kemenangan lebih besar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sejarah PH menunjukkan gabungan itu berdepan kekalahan terlebih dahulu, namun mencipta kejutan dengan mencatat kemenangan selepas itu.

"Sejarah kita memang sentiasa kalah dulu. Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) sentiasa kalah, tapi datang Pilihan Raya Umum (PRU), dua kali menang, tubuh kerajaan. Ini memang sentiasa berlaku pada kita.

Iklan

"Sebab kalah kali ini di Negeri Sembilan dan Johor, terpukul kita tapi kita lupa satu sejarah tentang kita, kekalahan akhirnya disambut di hujung sekali dengan kemenangan yang lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya PKR Cabang Hang Tuah Jaya pada Sabtu.

Iklan

Mengulas prestasi PH di Melaka, Adam Adli berkata, kekalahan dalam PRN Melaka pada 2021 perlu diterima sebagai realiti, namun gabungan itu berjaya memperlihatkan perubahan setahun kemudian dalam PRU15.

"2021 kita kalah teruk di sini di negeri Melaka. Tak kiralah apa pun faktornya, memang kita kalah. Kita terima hakikat itu. Kita tak berjaya dan kita tak berjaya untuk hantar wakil daripada PKR.

"Masuk 2022, mungkin kita tersasar satu kerusi yang sepatutnya kita boleh menang, Tangga Batu. Tapi setidaknya waktu itu, alhamdulillah PH boleh menang di Melaka, meninggalkan kawan kita BN tanpa sebarang kerusi Parlimen," katanya.

Ujarnya, corak sokongan pengundi sukar dibaca kerana masyarakat tidak memberikan sokongan kepada parti politik secara mutlak, sebaliknya berdasarkan pelbagai pertimbangan.

"Memang susah nak dibaca sebab masyarakat tidak hanya semata-mata bagi kesetiaan pada parti politik macam cek kosong.

"Dia bagi sokongan kepada parti politik dengan banyak syarat dan syarat paling mustahak adalah kita ini bercakap, bergerak dan angkat nama parti tetapi matlamat kita akhirnya adalah untuk selamatkan rakyat.

"Ini Parti Keadilan Rakyat, bukan parti yang ditubuhkan semata-mata untuk menang dalam pilihan raya," katanya.