SUNGAI PETANI - Kesibukan menguruskan majlis perkahwinan tidak menghalang seorang qari menyertai Malaysia #QuranHour sekali gus sudi mengalunkan bacaan suci al-Quran yang diperdengarkan kepada peserta di Taman Seri Bayu, Sungai Lalang di sini pada Ahad.
Muhamad Ashraf Mohd Nawayi, 29, yang baharu bernikah dengan pasangannya dua hari lalu, sibuk membuat persiapan untuk majlis perkahwinan sebelah pengantin perempuan pada Isnin dan majlis bertandang Sabtu ini.
Bagaimanapun, jelasnya, sebagai tanda kesyukuran kepada ALLAH SWT, dia mengambil sedikit waktu agar diisi dengan pengisian akhirat walaupun terpaksa meninggalkan seketika kegembiraan membuat persiapan perkahwinan.
"Sibuk macam mana pun, kena ada rasa juga (bekalan untuk) akhirat itu, walaupun sekejap dalam sehari...tiap-tiap hari kena ada, walaupun kita ambil dunia, akhirat pun kita kena rebut juga, sebab kita hidup di dunia ini tujuannya menuju ke akhirat.
"Pertama kali sertai Malaysia #QuranHour, sedikit sebanyak dapat ilmu, lebih-lebih lagi dalam Surah Al-Balaq, dapat banyak pengajaran yang boleh digunakan dalam kehidupan kita seharian," katanya ketika ketika ditemui di Surau Al-Muhsinin, Taman Seri Bayu, Sungai Lalang, di sini pada Ahad.
Sementara itu, Pentadabbur dan Wakil Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Mohd Harfiz Hamzah berkata, penganjuran julung kalinya di lokasi itu mendapat kerjasama baik dari anak kariah dengan penyertaan kira-kira 50 peserta.
"Setakat ini, Alhamdulillah sebab ini kali pertama kita buat dekat sini...harapnya #QuranHour masa akan datang akan dapat lebih banyak sambutan," jelas beliau.
Selain itu, Setiausaha Kariah Taman Seri Bayu, Dr Kamarudin Othman berkata, pendedahan terhadap kefahaman surah memberi pengajaran dan nasihat yang baik buat anak kariah.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Kariah Taman Seri Bayu, Saiful Shawal Daud berkata, sangat bermanfaat sebagai salah satu pengisian kepada semua golongan termasuk anak muda tempatan.
"Kita nampak banyak pelapis-pelapis anak muda yang berminat ke arah ni. Jadi saya rasa program ni memang sesuai sangatlah untuk kita teruskan untuk tahun-tahun akan datang, supaya menjadi platform yang bermanfaat," jelasnya.