KUALA LUMPUR - Pemilihan Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118 sebagai lokasi utama penganjuran Malaysia #QuranHour 2026 menjadi satu penghormatan dan peluang bermakna untuk pihak masjid bersama-sama menyemarakkan penghayatan terhadap al-Quran.
Pengerusinya, Datuk Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud berkata, pihaknya amat teruja apabila masjid berkenaan dipilih untuk menjayakan program yang memberi ruang kepada masyarakat mendekati dan menghayati ilmu daripada al-Quran.
“Apabila Malaysia #QuranHour diadakan di masjid ini, kami amat teruja apabila masjid ini terpilih.
"Justeru, kami amat berbesar hati kerana masjid ini dipilih untuk menjayakan program berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah mencemar duli berangkat ke Program Malaysia #QuranHour 2026.
Ketibaan Seri Paduka Baginda pada 11.55 pagi diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Penasihat Kumpulan Karangkraf yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamudin Yaacub.
Menurutnya, penganjuran Malaysia #QuranHour di masjid berkenaan amat bermakna kerana ia memberi peluang kepada orang ramai untuk bersama-sama mendapatkan manfaat ilmu dan penghayatan yang boleh diterapkan dalam kehidupan.
Malaysia #QuranHour 2026 yang memasuki tahun ke-12 mengangkat tema Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera.